Emery nafi ‘pancing’ Khedira

- Advertisement -
LONDON: Pengendali Arsenal, Unai Emery enggan dikaitkan dengan khabar angin membabitkan Sami Khedira selepas pemain tengah Juventus itu dilihat berada di Emirates, Ahad lalu.
Pemain kelahiran Jerman itu dilaporkan akan meninggalkan juara Serie A itu pada musim panas ini selepas penampilannya dihadkan kepada 20 perlawanan dalam semua kejohanan musim lalu.
Kehadiran Aaron Ramsey dan Adrien Rabiot meningkatkan spekulasi membabitkan bekas pemain Real Madrid itu yang dilihat sebagai lebihan buat jurulatih baharu Juve, Maurizio Sarri.
Pemain berusia 32 tahun itu, yang tidak terbabit dalam sisi jelajah pra-musim Juve di Asia dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Arsenal, Fiorentina dan Valencia tetapi kelibatnya di Emirates ketika Arsenal menentang Lyon mencetus spekulasi.
Sekali pun memuji keupayaan Khedira di atas padang, Emery begitupun menafikan wujud perbincangan membabitkan pemain berkenaan.
“Khedira adalah pemain yang amat bagus tetapi ini kali pertama saya mendengar namanya disebut,” kata pengurus kelahiran Sepanyol itu ketika diminta mengulas mengenai kehadiran Khedira di Emirates.
Satu-satunya pemain baharu yang dijangka menyertai Gunners minggu ini ialah penyerang, Nicolas Pepe selepas perjanjian membabitkan perpindahannya dilaporkan sudah menemui jalan penyelesaian.
Arsenal sudah pun menguatkan jentera tengahnya dengan menandatangani pemain Real, Dani Ceballos secara pinjaman bagi mengisi lompong yang ditinggalkan Ramsey. – Agensi