Amaran Klopp buat Man City

28

LONDON: Jurgen Klopp melaungkan amaran kepada Manchester City supaya menjangkakan Liverpool yang berbeza berbanding skuad yang mengharungi kempen pra-musim apabila kedua-duanya bertemu pada aksi Piala Perisai Komuniti, Ahad ini.

Juara Eropah itu dipalit kekalahan 0-3 kepada Napoli pada aksi persahabatan, awal pagi tadi sekali gus terus kempunan meraih kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut.

Begitupun, mereka dijangka akan kembali diperkuatkan dengan deretan bintang seperti Mohamed Salah, Alisson dan Roberto Firmino yang dijadual pulang ke Anfield, hari ini manakala Sadio Mane akan tiba pada hari perlawanan dengan City.

Pengurus Liverpool, Klopp mengakui ia menjadi kempen pra-musim yang aneh buatnya tetapi memberi jaminan persembahan yang ditampilkan di Wembley nanti akan jelas berbeza.

“Hilang enam pemain cukup aneh. Kamu hilang beberapa pemain ketika pra-musim, ia berlaku dari masa ke masa dan kami juga sudah biasa,” kata pengendali dari Jerman itu.

“Tetapi apabila mereka tidak bermain sejak awal dan datang beberapa hari atau selepas kami memulakan musim, ia tidak bagus. Sekali lagi, itulah yang berlaku dan kami akan cuba menyiapkan semua orang sebaik yang mungkin.

“Kami perlu berjuang sejak awal musim ini dengan 100 peratus dengan apa yang kami miliki. Apa yang baiknya adalah, jika pihak lawan mahu menganalisa kami ketika ini, mereka akan berfikir ia ‘kerja mudah’, tetapi kami akan menjadi pasukan yang berbeza minggu depan (Ahad ini).”

Liverpool yang turut kehilangan khidmat Xherdan Shaqiri dan Naby Keita diketepikan susulan kecederaan melepaskan 10 gol dalam empat perlawanan terakhir dan akan melengkapkan pra-musim menentang Lyon, awal pagi Khamis ini. – Agensi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: