Harley-Davidson lancar model FXDR 114 – RM122,500

11

Harley-Davidson Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model cruiser prestasi terbaru, FXDR 114. Ini merupakan pertambahan terbaru bagi barisan model Harley-Davidson Softail di Malaysia. Model ini dijual pada harga bermula dari RM122,500. Bagi unit yang didaftarkan sebelum 30 November 2019, pelanggan layak menerima muffler Screamin’ Eagle Titanium serta baucar alatan menunggang bernilai RM4,200.

FXDR 114 menjadi model kesepuluh keluaran Harley-Davidson yang menggunakan platform softail yang pertama kali diperkenalkan pada 2018. Menjadi kelebihan model ini ialah tumpuan yang diberikan terhadap menghasilkan motosikal yang lebih ringan.

FXDR menggabungkan penggunaan enjin Milwaukee-Eight 114 V-Twin 1,868 cc dengan komponen aluminium dan komposit untuk mencapai tujuan itu. Enjin berkenaan menghasilkan tork sebanyak 158 Nm pada 3,500 rpm dengan talaan ekzos 2-kepada-1 baru. Sebagai contoh, bahagian swingarm memberikan pengurangan berat sebanyak 4.62 kg (atau 43% lebih ringan) berbanding komponen sama yang diperbuat daripada besi pada model Softail lain.

12.jpg

Tangki minyak dengan kapasiti 16.7 liter yang dipanjangkan untuk disesuaikan dengan profil rekaannya, diikuti dengan kedudukan pelana untuk penunggang tunggal. Ia menampilkan penggunaan suspensi belakang monoshock dengan teknologi omboh-bebas dalaman serta ciri gegelung tunggal – dengan tombol talaan hidraulik pra-bebanan.

Fork depan terbalik dengan diameter 43 mm bertindak untuk “mengeraskan” lagi kendalian bahagian depan bagi memberikan respon lebih jitu kepada penunggang. Sistem brek depan pula menggunakan cakera 300 mm, serta turut dilengkapi ciri ABS sebagai standard. Tayar pula menggunakan unit Michlein Scorcher 11 di depan (120 mm) dan belakang (240 mm). Paparan maklumat tunggangan pula adalah melalui skrin digital.

13.jpg

Selain itu, motosikal ini juga didatangkan dengan sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk lampu depan Daymaker LED dengan lampu halo LED. Sistem tanpa kunci Harley-Davidson Smart Security System dan slot pengecas USB ditawarkan sebagai ciri standard.

FXDR ditawarkan dalam enam pilihan warna; Vivid Black, Black Denim, Indsutrial Grey Denim, Wicked Red Denim, Bonneville Salt Denim dan Rawhide Denim dan boleh didapati dikeempat-empat bilik pameran pengedar Harley-Davidson Malaysia bermula hari ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: