Teknologi AR tarik pengunjung PIIACUF

- Advertisement -
PUTRAJAYA: Dengan mata kasar nampak seperti biasa, tetapi selepas imbas kod QR di ruang pameran, terus terpegun.
Itu antara pengalaman pengunjung di Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 yang merasai sendiri pengalaman dalam pameran interaktif Augmented Reality (AR) yang diketengahkan pada festival itu.
Mengetengahkan beberapa tema pameran interaktif yang menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) termasuk ‘muslim scientists’, gamelan, instrumen muzikal, kaligrafi 99 nama Allah serta flora dan fauna tarikan terbaharu itu ternyata menarik perhatian pengunjung.
Pengunjung, Hanis Roslan, 32, berkata PIIACUF kali ini membawa kelainan tersendiri apabila kebanyakan pameran diketengahkan menggunakan konsep AR.
“Siapa tak seronok, dengan mata kasar kita nampak seperti biasa tetapi apabila imbas kod QR yang terdapat di sini, kita boleh nampak planet secara dekat, malah boleh bergambar dengan planet itu dan nampak seperti sedang memegangnya kerana ia berbentuk 3D.
“Dalam pameran interaktif AR gamelan pula, anda nampak seperti sedang bergambar dengan alat muzik saja, tetapi selepas imbas kod QR, rupanya ada pemain alat muzik itu juga di situ.
“Ke mana sahaja anda pergi dalam pameran ini, pasti ada tarikan yang menggunakan konsep AR yang mana ia ternyata berjaya menarik perhatian pengunjung, terutama kanak-kanak.
“Selalunya kalau kita pergi pameran, nampak buku atau risalah saja, tetapi pada PIIACUF kali ini anda hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk imbas kod QR pada mana-mana pameran yang ada di sini untuk melihatnya secara interaktif.
“Ternyata ini menarik minat anak-anak saya untuk membaca pelbagai info di pameran ini apabila mereka melihatnya dalam bentuk lebih interaktif disertai dengan video, muzik dan grafik menarik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
AR adalah teknologi yang membolehkan pengunjung melihat objek maya tiga dimensi pada gambar atau buku fizikal.
PIIACUF 2019 yang berakhir esok dengan tema ‘Keindahan Seni Muzik dan Vokal Islam’, menyasarkan kedatangan 350,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Festival empat hari bermula Khamis lalu dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu menampilkan 135 aktiviti merangkumi pameran interaktif AR, konsert, ekspo buku Islamik, festival kanak-kanak serta alunan azan.