Mitsubishi Pajero Sport 2019 tampil dengan wajah baru

- Advertisement -
Di Thailand, Mitsubishi Pajero Sport 2019 kini telah ditunjukkan. SUV berkenaan, yang dipasang di kilang Laem Chabang di sana, tidak sekadar menerima peningkatan penggayaan, tetai turut melibatkan kemaskini kelengkapan.
Antara yang boleh dilihat dengan jelas ialah wajah depan Dynamic Shield padanya diperkemas sama seperti yang ada pada model Triton dan Xpander ketika ini. Grilnya kini lebih tebal dengan lampu utamanya direka semula, hadir sekali dengan DRL LED dibahagian dasarnya. Kedudukan bonet juga lebih tinggi, menampakkannya lebih teguh dan lebar.
Perhatikan juga kedudukan “skid plate” yang terletak di bawah bampar yang telah digantikan dengan kemasan yang lebih elegan. Bahagian belakang juga menerima kemaskini, terutama pada lampunya, bagi membolehkan menyuntik kesegaran pada penampilan. Perubahan lain termasuk pintu ruang barangan kuasa elektrik, yang boleh dibuka dari jauh melalui kunci atau aplikasi Mitsubishi Remote Control.
Ruang dalaman Mitsubishi Pajero Sport terbaru ini pula bagaimanapun tidak banyak berbeza berbanding yang dulu. Antara yang dipertingkat ialah paparan 8-inci kluster instrumen digital serta sebuah lagi unit infotainmen lapan-inci. Bahagian pemegang pula kini menggunakan material lembut, sementara penumpang belakang kini mempunyai soket AC sebagai tambahan slot USB.
Ciri keselamatan pula turut menerima fungsi bantuan penukaran lorong (LCA) dan amaran lintasan trafik di belakang (RCTA). Enjin pula menggunakan unit 4N15 2.4 liter empat-silinder turbodiesel yang sama, dengan janaan 181 PS dan 430 Nm tork. Kuasa pula disalurkan oleh kotak gear automatik lapan-kelajuan dengan pilihan sistem pacuan dua atau empat roda (Super-Select 4WD-II).