FELCRA rintis teknologi dron, robotik untuk model pertanian pintar

0

08

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad menjadi syarikat perladangan yang merintis penggunaan teknologi baharu dron dan robotik dalam pengurusan dan operasi ladang dengan termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi, MATA Aerotech, semalam.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sempena Majlis Silaturahim Menteri bersama Warga Peserta FELCRA Seberang Perak.

Pertukaran MoU itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor dengan Ketua Pegawai Eksekutif MATA Aerotech, Wan Azrain Adnan. Yang turut hadir Pengerusi FELCRA Datuk Mohamad Nageeb Ahmad Abdul Wahab.

MoU itu berlandaskan kerjasama untuk mengintegrasikan teknologi di dalam model pertanian pintar (Smart Agriculture), selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Selain itu, MoU itu bagi memperkukuh komitmen FELCRA untuk meningkatkan pencapaian organisasi serta menambah-baik kualiti hidup warga FELCRA yang melebihi 100,000 peserta.

MATA Aerotech ialah sebuah organisasi ulung berteraskan teknologi dron dan robotik, iaitu syarikat usahasama di antara syarikat Malaysia dan Taiwan, iaitu Nexus Union, SWS Capital Berhad serta GEOSAT Aerospace & Technology Inc.

Ini adalah hasil fasilitasi dan pemadanan yang disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan, menerusi Biro Pembangunan Industri (IDB) Taiwan dan Institut Industri Maklumat (III) Taiwan.

MATA Aerotech memiliki kepakaran serta pengalaman yang mendalam, bersandarkan teknologi dron dan robotik yang dibina sejak 2009 dan pernah terbabit dalam pelbagai aktiviti berkaitan teknologi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan dan pemasangan, pengujian, latihan, perkhidmatan serta analisa data.

MoU itu menggariskan tiga aspek kerjasama utama, iaitu: penggunaan teknologi dron dan robotik untuk pengurusan serta operasi perladangan FELCRA, penerajuan aktiviti R&D bagi meningkatkan inovasi sektor pertanian, dan pembangunan modal insan untuk industri teknologi dron dan robotik.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan MoU ini mampu memberi impak langsung yang positif kepada FELCRA.

Analisis data yang disediakan oleh teknologi dron membantu menambah-baik prestasi pengurusan ladang dengan memiliki maklumat ladang terkini.

Penggunaan teknologi dron juga akan dapat meningkatkan hasil tanaman dengan pemetaan ladang yang tepat dan pantas serta dapat menganalisa kualiti dan kesihatan tanaman. Penyemburan baja dan racun boleh dilaksanakan secara bersasar, yang mana ia dapat mengurangkan pendedahan tenaga kerja ladang dan alam sekitar kepada racun.

Penjimatan kos juga dicapai melalui pengurusan perolehan bahan, baja dan racun yang lebih cekap, yang menjurus kepada pengurangan pembaziran dan ketirisan.

Penggunaan tenaga kerja yang lebih efisien juga dicapai melalui penggunaan teknologi berkenaan selain dapat meringankan beban kerja sedia ada tenaga kerja, membolehkan tenaga kerja membabitkan diri di dalam aktiviti produktif yang lain.

Seterusnya, dengan membina kelompok tenaga kerja yang mahir untuk teknologi dron dan robotik, ianya dapat mendukung agenda FELCRA untuk membina model pertanian pintar yang mampan.

Di Taiwan, penggunaan teknologi dron untuk sektor pertanian padi telah memberi impak yang begitu positif, melibatkan pengurangan racun sehingga 25 peratus, kos tenaga kerja menurun sehingga 30 peratus serta peningkatan hasil tanaman sehingga 10 peratus.

Wan Azrain berkata, langkah FELCRA ke arah model pertanian pintar ini mampu menarik perhatian lebih ramai usahawan tani untuk mengorak langkah yang sama.

“Pada masa yang sama, ia juga dapat menjana minat anak muda Malaysia untuk melibatkan diri di dalam sektor pertanian, menyumbang kepada penurunan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Model pertanian pintar bakal mengubah landskap sektor pertanian negara,” katanya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: