Liverpool tewas aksi sulung jelajah AS

24

CHICAGO: Pemain kebangsaan Denmark, Thomas Delaney dan Jacob Bruun Larsen masing-masing meledak gol pada babak kedua bagi membantu Borussia Dortmund melakar kemenangan 3-2 ke atas Liverpool dalam aksi pembukaan pra-musim di Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.

Beraksi di Stadium Notre Dame di South Bend, Indiana, pasukan Bundesliga, Jerman itu berjaya menembusi corak bertahan dari juara Eropah itu yang kehilangan beberapa pemain tonggak.

Pemain kebangsaan Brazil, Roberto Firmino dan Alisson tidak bersama The Reds kerana mengharungi kempen Copa Amerika manakala Mohamed Salah dan Sadio Mane, masing-masing baru melengkapkan kempen Piala Negara-Negara Afrika.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyenaraikan barisan muda untuk bertemu bekas kelab kendaliannya itu sebelum melakukan 10 pertukaran pada babak kedua perlawanan.

“Satu perlawanan yang sangat sukar untuk kedua-dua pasukan,” kata Klopp. “Saya melihat banyak perkara baik dan banyak prestasi dipamerkan pemain secara individu namun apapun, ia masih belum mencukupi. Apa yang jelas, kami masih belum berada di tahap yang dimahukan.

Dortmund mendahului saingan hanya selepas tiga minit perlawanan bermula menerusi Paco Alcacer sebelum Harry Wilson menyamakan kedudukan pada minit ke-35.

Delaney, yang dimasukkan Dortmund pada waktu rehat, meledak jaringan pada minit ke-53 manakala Bruun Larsen meletakkan pasukan terus mendahului saingan, enam minit kemudian.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang dilunaskan Rhian Brewster selepas Ben Woodburn dijatuhkan pada minit ke-75, berjaya mengurangkan jurang kedudukan namun Liverpool tidak dapat menemui jaringan penyamaan pada baki tempoh perlawanan.

Liverpool dijadual bertemu pasukan dari Sepanyol, Sevilla esok di Stadium Fenway Park di Boston untuk aksi kedua daripada tiga perlawanan bagi jelajah AS. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: