Toyota Rush di Malaysia tidak terlibat dengan isu sensor beg udara, tiada panggilan untuk pemeriksaan

- Advertisement -
UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan Toyota Rush, yang baru-baru ini dipanggil semula di Filipina disebabkan isu beg udara yang “terlalu sensitif”, beg udara bidai kenderaan ini boleh keluar sekiranya terlanggar bonjolan atas jalan pada kelajuan 60 km/j ke atas.
Menerusi kenyataan rasmi tersebut, UMWT mengesahkan model Rush yang dijual di Malaysia tidak terlibat dengan panggilan semula itu. Pengumuman ini juga dibuat susulan langkah Perodua yang menggumumkan 3,000 unit model Aruz dipanggil semula untuk pemeriksaan berikutan isu ini.
Setakat ini menurut Perodua, masalah itu masih tidak memberi kesan kepada model di Malaysia, dan pemeriksaan serta penggantian alat yang terlibat dibuat sebagai langkah berjaga-jaga. Keseluruhan proses akan mengambil masa 30 minit untuk siap, dan semua kos ditanggung oleh Perodua.
Untuk pengetahuan anda, Rush dan Aruz kedua-duanya dipasang di kilang Perodua, Rawang, tetapi untuk proses kemasan akhir Rush, pemasangan aksesori dan kawalan kualiti akhir dilakukan di kilang baharu Toyota, di Bukit Raja, Klang. Bekalan enjin dan juga transmisi kedua-dua model ini juga disalurkan oleh pihak yang sama, iaitu kilang Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (DPEM) dan juga Akashi Kikai Industry (M) Sdn Bhd – kedua-duanya terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.