Guna pakai AI untuk beri produk, perkhidmatan lebih baik – Microsoft

0

08

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perniagaan Malaysia perlu mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) dengan menggunakan data yang dikumpulkan menerusi teknologi untuk menawarkan produk dan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan mereka, kata Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd.

AI boleh dirujuk sebagai teknologi generasi yang akan menjadi paksi dunia digital dan jika dimanfaatkan dengan baik, AI dapat memberikan penyelesaian kepada masalah, daripada mencari penawar kepada penyakit untuk mewujudkan dunia yang lebih mampan.

Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang dan Korporat Microsoft Malaysia dan pasaran baharu, Dr Jasmine Begum, berkata berdasarkan kaji selidik oleh ketua pegawai eksekutif tempatan, Microsoft mengenal pasti bahawa hanya dua peratus daripada perniagaan di Malaysia telah mula mengguna pakai AI.

Oleh itu terdapat banyak peluang yang belum diterokai, katanya.

“Syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perlu tahu bahawa mereka patut boleh menggunakan data daripada pelanggan mereka dan menjadikannya sebagai peluang. Sebagai contoh, pelanggan kini boleh menggunakan dalam talian dan memberikan anda maklum balas (selepas melakukan transaksi).

“Adakah anda mengambil data itu dan mengubahnya menjadi visi dan memanfaatkan produk anda untuk kegunaan seterusnya?

“Berapa banyak daripada PKS kita yang sedia melakukan itu? Tidak. Jadi, kecuali anda boleh menunjukkan data itu boleh menjadi peluang perniagaan, budaya data tidak akan berlaku,” katanya kepada Bernama di luar acara Beyond Paradigm Summit 2019 yang dianjurkan Serba Dinamik Holdings Bhd.

Beliau berkata, terdapat wadah yang tersedia secara percuma yang boleh digunakan oleh syarikat-syarikat untuk menjadikan data itu menjadi visi, sambil menegaskan penting bagi syarikat daripada semua industri untuk menerokai AI memandangkan negara secara beransur-ansur bergerak ke dunia digital.

“Anda berhadapan dengan penduduk digital dan penduduk digital mahu segala-galanya di hujung jari mereka. Mereka mahukan perkhidmatan kerajaan yang baik di hujung jari mereka dan mereka tidak sabar untuk pergi berdaftar.

“Adakah anda melihat orang muda pergi ke bank? Tidak, mereka mahukan e-dompet. Jadi budaya akan berubah dan bagi membolehkan itu berlaku, kita perlu mula memanfaatkan data kita, ” tegasnya.

Satu kajian oleh Microsoft dan IDC Asia/Pasifik bertajuk “Memahami Kepercayaan Pengguna Dalam Perkhidmatan Digital di Asia Pasifik” mendapati walaupun terima pakai dan penggunaan AI masih di peringkat awal namun sudah ada keyakinan tinggi untuk AI di Malaysia.

Kajian itu merumuskan bahawa 89 peratus rakyat Malaysia sedar tentang AI manakala 51 peratus yakin tentang masa depan AI.

Pengguna juga pada umumnya optimis mengenai impak AI dalam pekerjaan mereka, dengan hampir empat daripada lima (79 peratus) percaya kesannya akan positif.

Dalam tempoh tujuh bulan lepas sahaja, beberapa organisasi di Malaysia (perniagaan, universiti dan kerajaan) telah mula mengguna pakai teknologi awan dan AI.

Mereka termasuk Plus Malaysia Bhd, UEM Edgenta, Celcom, Time dotcom, Mimos dan Serba Dinamik. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: