Serba Dinamik perkenal teknologi asing ke Malaysia

- Advertisement -
KUALA LUMPUR 17 Julai – Serba Dinamik Holdings Bhd. mahu membawa masuk teknologi asing daripada syarikat-syarikat luar negara yang diambil alih ke Malaysia dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata teknologi tersebut akan dimanfaatkan dalam dua projek utama yang disertai syarikat iaitu Pengerang Eco-Industrial Park dan Hab Tenaga Bersepadu Bintulu.
“Buat masa sekarang, kami menangguhkan sebarang pengambilalihan, sebaliknya, lebih tertumpu kepada pengembangan entiti yang sudah kami perolehi. Kami sedang memindahkan teknologi syarikat-syarikat yang telah kami ambil alih ke dalam Malaysia,” katanya kepada Bernama semasa di Sidang Kemuncak Beyond Paradigm 2019 di sini hari ini.
Beliau menjelaskan kemajuan Hab Tenaga Bersepadu Bintulu sedang berjalan lancar dan mungkin sebahagiannya akan beroperasi pada suku keempat tahun ini.
Serba Dinamik aktif dalam usaha pengambilalihan pada 2018. Antara entiti yang diambil alih adalah dua syarikat Belanda dengan harga RM6.49 juta melalui subsidiari milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd (SDI) pada September tahun lepas.
SDI memeterai perjanjian jualan saham bagi memperoleh 25 peratus kepentingan ekuiti dalam Psicon BV dan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Psicon AVV.
Psicon BV dan Psicon AVV sedang bergiat secara aktif dalam perniagaan penambahbaikan pemprosesan, naik taraf prestasi peralatan berputar, khidmat nasihat dan perdagangan turbin wap termasuk alat ganti di Eropah, Afrika, Timur Tengah serta Timur Jauh.
Abdul Karim berkata, sebagai sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global, Serba Dinamik telah membuat pelaburan dalam keselamatan siber, data dan data analisis.
Katanya, dengan memanfaatkan teknologi ini, syarikat mampu menyediakan perlindungan keselamatan ke atas aplikasi dan sistem yang dipakai.
Beliau memberitahu kerjasama dengan Microsoft menguntungkan kedua-dua pihak.
“Kami memerlukan produk Microsoft sebagai sumber, supaya kami boleh membuat integrasi bagi hasil produk yang lebih baik.
“Dalam pada itu, mereka akan mendapat keuntungan melalui pembelian kami ke atas produk mereka. Selain itu, kami juga menggunakan beberapa kepakaran teknikal mereka bagi membantu kami,” katanya.
Peluang kerjasama dengan Microsoft ini akan diteruskan kerana syarikat berkenaan akan memerlukan kepakaran Serba Dinamik berikutan kemampuannya memberikan penyelesaian yang lebih berdaya saing berbanding dengan penyedia penyelesaian yang lain.
Pada 27 Ogos tahun lepas, Serba Dinamik memeterai memorandum persefahaman dengan Microsoft APAC Digital Advisory Services dalam usaha ke arah penggunaan Industri 4.0 melalui transformasi digital.
Sidang Kemuncak Beyond Paradigm yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu, membawa tema ‘Mewujudkan Penyelesaian Digital Tersendiri’. Ia memaparkan teknologi termaju yang meliputi idea-idea teras mengenai automasi dan pertukaran data yang membabitkan persekitaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Matlamat utama sidang kemuncak itu adalah untuk menyatukan perniagaan yang telah mengamalkan penyelesaian IR4.0 secara kecil-kecilan bagi memulakan idea, perbincangan mengenai konsep-konsep dan melaksanakan idea-idea yang boleh mengubah landskap digital Malaysia.
Serba Dinamik adalah penganjur utama sidang kemuncak itu, dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia sebagai penganjur bersama. Rakan kongsi rasmi terdiri daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia serta Microsoft Malaysia, dengan TM One sebagai rakan kongsi teknologi. -BERNAMA