Lampard kagum komitmen Pulisic

28

LONDON: Frank Lampard memuji keinginan tinggi Christian Pulisic untuk memulakan kariernya di Chelsea dan percaya bintang Amerika Syarikat (AS) itu akan menjadi pembelian berbaloi buat Blues.

Pulisic menoktahkan spekulasi mengaitkannya dengan Liga Perdana apabila menandatangani kontrak bersama Chelsea dengan nilai £57 juta (RM294.74 juta) pada Januari lalu tetapi melengkapkan musim 2018-19 selaku pemain pinjaman bersama bekas kelabnya, Borussia Dortmund.

Pemain berusia 20 tahun itu melengkapkan kempen Piala Emas bersama skuad kebangsaan AS baru-baru ini di mana dia meledak tiga gol dan menyempurnakan tiga umpanan bagi membawa pasukannya ke final.

Sekali pun AS menamatkan saingan selaku naib juara selepas tewas kepada Mexico, Pulisic dinamakan Pemain Terbaik Kejohanan.

Sekali pun kempen Piala Emas berakhir pada 8 Julai lalu,  Lampard mengesahkan Pulisic akan menyingkatkan tempoh percutiannya untuk menyertai Chelsea pada minggu depan, sembilan hari selepas kekalahan AS kepada Mexico.

“Christian akan menyertai kami pada Selasa,” kata Lampard. “Dia mengharungi rehat yang singkat, dia mahu menyertai kami secepat yang mungkin dan ia sesuatu yang saya amat hargai.

“Saya menghargainya (keputusan Pulisic memendekkan cutinya). Ia seperti yang saya mahu. Ia perjalanan yang hebat buatnya untuk datang ke kelab sebesar ini. Dia pemain muda terbaik. Dia hanya perlu mengharungi satu jalan untuk kariernya, dan ia akan meningkat dan menjadi pembelian hebat untuk Chelsea.

“Saya mengharapkannya. Saya tidak sabar untuk bekerja dengannya. Adalah penting untuk kami memulakan musim ini sebaik yang mungkin.”

Chelsea akan berada di Jepun bagi meneruskan kempen pra-musim dan dijadual bertemu kelab Kawasaki Frontale pada 17 Julai diikuti perlawanan menentang Barcelona, Reading, Red Bull Salzburg dan Borussia Monchengladbach sebelum memulakan kempen Liga Perdana bertemu Manchester United pada 11 Ogos. – AGENSI

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: