Maxis teroka peluang industri permainan digital

08

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd meneroka potensi perniagaan dalam industri permainan digital dengan meluaskan perkhidmatan, penawaran produk serta pembangunan pakejnya untuk menyokong pembangunan ekosistem industri itu di Malaysia.

Ketua Jenama dan Pemasarannya, Tai Kam Leong, berkata Maxis mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran dengan menawarkan tiga peranti mudah alih berprestasi tinggi untuk permainan digital dipakejkan bersama Maxis Zerolution, pembelian dalam permainan menerusi operator bil untuk pelanggan Maxis, Hotlink dan ookyo.

Katanya, walaupun data terkini menyatakan lebih 40 peratus daripada golongan muda berusia antara 16 hingga 24 tahun di Malaysia adalah penggemar permainan digital, namun industri permainan digital jauh lebih besar meliputi semua peringkat umur, peranti mudah alih, konsul dan rangkaian gentian rumah.

“Untuk masa depan, kami menjangkakan ada potensi perniagaan yang besar bagi industri ini untuk diterokai sebagai sebuah syarikat telekomunikasi.

“Bahkan, kerjasama Maxis dengan Team Secret memberikan peluang untuk syarikat memperkayakan pengalaman pelanggan dengan kandungan sukan digital (eSport).

“kami turut memainkan peranan penting membentuk ekosistem permainan digital Malaysia dengan memenuhi kehendak pengguna menerusi produk Maxis akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman kerjasama penaja Team Secret di sini, hari ini.

Team Secret adalah pasukan profesional eSport Malaysia bagi permainan PUBG Mobile ke peringkat Antarabangsa.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan membangunkan kandungan permainan digital eksklusif bertaraf dunia selama setahun bagi melahirkan lagi lebih ramai penggemar permainan digital tempatan mewakili negara ke arena eSport dunia.

Sementara itu, Ketua Pengambilalihan Pascabayar Perniagaan Pelanggan Maxis, Michael Tung, berkata ketika ini fokus syarikat adalah kepada penawaran permainan digital mudah alih dan perkhidmatan berkaitannya iaitu menerusi tiga peranti telefon pintar yang ditawarkannya.

Namun, katanya Maxis juga melihat peluang meneroka segmen kediaman menerusi rangkaian gentian optik dengan meluaskan sokongan perkhidmatan melangkaui permainan mudah alih kepada segmen berkenaan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: