BMW X7 versi pikap – projek khas pelatih vokasional

- Advertisement -
Tahun ini, pengunjung acara BMW Motorrad Days di Jerman dapat menyaksikan sesuatu yang istimewa oleh pengeluar itu. Ia bukanlah motosikal, tetapi sebuah trak pikap yang dibuat khas menggunakan asas badan daripada model X7 yang baru sahaja dilancarkan di negara kita pagi tadi.
Trak yang ditunjukkan dengan membawa motosikal F 850 GS di belakangnya ini adalah hasil rekaan pelatih vokasional BMW Group, dengan kerjasama bahagian Pembinaan Kenderaan Konsep dan Teknologi Model di kilang BMW di Munich, Jerman. Ia bukanlah untuk dijual, tetapi sekadar projek khas.
Dalam masa 10 bulan sahaja, 12 pelatih yang terlibat dalam projek ini berjaya mengubah suai sebuah model X7 yang sudah digunakan sebagai ujian kepada sebuah trak pikap konsep yang boleh beroperasi sepenuhnya dan boleh dibawa atas jalan biasa. Penjanaan konsep dan cara pelaksanaan juga difikirkan oleh mereka sendiri.
Daripada sebuah SUV tujuh tempat duduk, kini trak pikap konsep tersebut cuma boleh dinaiki lima orang dan di belakangnya terdapat ruang barangan dengan panjang 140 sm apabila tertutup dan 200 sm apabila pintunya dibuka. Panjang keseluruhan kenderaan juga bertambah 10 sm, dan hasil daripada penggunaan bahan CFRP pada komponen bumbung dan pintu ruang barangan, beratnya dapat dikurangkan sebanyak 200 kg berbanding X7 biasa.
Sebagai kemasan, mereka telah memilih untuk menggunakan kayu jati pada lantai dan tepi bahagian ruang barang, sementara badan kenderaan pula dicat dengan warna Tanzanite Blue metalik yang dipilih daripada katalog warna BMW Individual.