Cantum tanah, teknologi baru buat peneroka – PM

08

KERAJAAN merancang mencantumkan tanah peneroka FELDA sebagai satu entiti pengurusan estet yang besar bagi memastikan hasil tanaman dan keuntungan dapat dipertingkatkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, estet besar itu akan ditadbir urus pengurusan terlatih dan berpengalaman selain menggunakan teknologi baru dalam bidang pertanian.

Beliau berkata, peneroka akan memperoleh pendapatan daripada bahagian tanah milik mereka yang dicantum menjadi sebuah estet besar.

“Bila kita lihat estet besar yang diurus dengan baik, semuanya mendapat untung dan apabila harga komoditi getah dan sawit jatuh mereka masih boleh untung walaupun sikit.

“Estet besar yang ditadbir urus dengan baik akan beri pendapatan mencukupi dan inilah cadangan dibuat kerajaan sekarang…akan susun semula estet-estet milik FELDA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3, Rompin, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi FELDA, Datuk Seri Mohd Bakke Salleh dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sudah memikirkan kaedah bersesuaian dalam mencantumkan tanah peneroka menjadi estet yang besar dengan mengukur tanah mereka terlebih dahulu.

Katanya, sebaik proses itu dilaksanakan, maka proses pembahagian pendapatan boleh diagihkan secara sistematik selepas hasil pertanian berjaya dipasarkan.

“Kita sedang kenal pasti tanah peneroka ini untuk dicantumkan, jika kita ambil 2,000 ekar (809 hektar), 200 ekar (80 hektar) kita akan tanam dengan tanaman lain. Lagi 1,800 ekar (728 hektar) kita tanam semula dengan sawit dan getah,” katanya.

Beliau berkata, tanah peneroka digabungkan itu akan dijadikan sebagai satu mekanisme penyelesaian masalah dihadapi peneroka masa kini apabila berdepan dengan kejatuhan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Katanya, kaedah pertanian moden dan berteknologi tinggi akan digunakan bagi memastikan ia mampu menghasilkan tanaman berkualiti serta membawa pulangan kepada peneroka.

“Kita yakin apabila kaedah ini dilaksana, peneroka tidak akan terputus pendapatan dan tidak akan bergantung kepada pemberian subsidi daripada kerajaan, perkara ini kita perlu kepada kerjasama peneroka,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut membandingkan inisiatif diambil petani dari beberapa negeri yang mula beralih kepada pertanian buah-buahan seperti mangga, nanas dan durian Musang King bagi meraih pendapatan untuk menyara kehidupan mereka .

Beliau berkata, peneroka perlu mengubah cara berfikir dan tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua jenis pertanian, sebaliknya mula bergerak mencari tanaman lain yang boleh memberikan hasil di kala harga komoditi merudum.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: