Guardiola sebab utama Rodri ke Etihad

62.jpg

LONDON: Pemain tengah Sepanyol, Rodri berkata peluang menuntut ilmu daripada Pep Guardiola menjadi sebab utama perpindahannya ke Manchester City dari Atletico Madrid yang memecahkan rekod kelab dimeterai.

Juara Inggeris itu mengumumkan pembelian pemain berusia 23 tahun itu semalam dengan perjanjian selama lima tahun, sehari selepas Atletico mengaktifkan klausa perpindahannya bernilai 70 juta euro (RM326.52 juta).

Jumlah berkenaan mengatasi rekod pembelian terdahulu City ketika mendapatkan pemain Leicester City, Riyad Mahrez yang dilaporkan berjumlah 60 juta euro (RM279.88 juta), tahun lalu.

“Saya berharap tahun ini kami akan menyamai atau meraih lebih kejayaan berbanding dua tahun lalu,” kata Rodri dengan City memenangi dua gelaran Liga Perdana berturut-turut termasuk musim lalu. “Bagi saya, ia peluang yang menakjubkan.

“Ia pasukan yang hebat dengan pemain-pemain yang mengagumkan di setiap posisi. Saya fikir Pep adalah jurulatih terbaik di dunia dan ia menjadi sebab utama kehadiran saya di sini.

“Ia penting bagi saya. Saya mahu belajar dan meningkat sebagai pemain. Saya amat muda dan masih banyak yang perlu saya lakukan. Dengan bimbingannya, saya akan meningkat di sini.”

Perpindahan Rodri boleh dianggap menguntungkan buat Atletico yang membelanjakan 20 juta euro (RM93.29 juta) bagi mendapatkannya semula dari Villarreal selepas dia dilepaskan ketika remaja.

Dia membuat 47 penampilan bersama Atletico, menjaringkan tiga gol ketika skuad kendalian Diego Simeone menamatkan saingan La Liga di atas seteru tetangga Real Madrid dan menjuarai Piala Super UEFA.

Kehadiran Rodri menyaksikan City kini memiliki pengganti berkualiti bagi pemain berpengaruh, Fernandinho yang kini sudah berusia 34 tahun. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: