Honda M’sia jual 44,200 unit bagi 1H 2019 – City catat jumlah tertinggi dengan 34%, kekal No.2 dalam TIV

13

Honda Malaysia telah mengumumkan berjaya merekodkan jualan melebihi 44,200 unit kenderaan yang didaftarkan untuk separuh pertama (1H) 2019, dengan bulan Mei mencatatkan jualan tertinggi melebihi 10,500 unit. Hasil pencapaian jualan tersebut turut mengekalkan Honda Malaysia dalam kedudukan Nombor 1 bagi segmen Bukan-Nasional dan juga Nombor 2 dalam jumlah keseluruhan industri (TIV), bagi 1H 2019, dengan menyumbang sebanyak 15.3% kepada TIV.

Model sedan segmen-B, City, dikatakan sebagai penyumbang terbesar dengan mencatatkan 34% dalam keseluruhan jualan. Diikuti dengan model crossover HR-V yang dilancarkan pada Januari lalu menyumbang sebanyak 20% dan CR-V pula sebanyak 14% dalam jumlah keseluruhan jualan tersebut. Honda turut mengesahkan barisan modelnya – Jazz, City, Civic, HR-V, CR-V dan BR-V – terus menjadi pendahulu dalam segmen masing-masing.

Malah HR-V yang diperkenalkan dengan warna Passion Red Pearl, telah menerima sambutan yang memberangsangkan. Justeru, baru-baru ini, warna yang sama turut diperkenalkan untuk model Jazz, City, CR-V dan BR-V. Honda Malaysia memaklumkan kini Passion Red Pearl telah menjadi warna paling popular yang menjadi pilihan pelanggannya. Sementara waktu menunggu untuk tempahan bagi semua modelnya pula antara satu hingga ke dua bulan.

14.jpg

“Kami ingin menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih buat semua rakyat Malaysia yang terus menyokong dan mempercayai jenama Honda. Separuh pertama 2019 ini sebenarnya agak mencabar namun menaikkan semangat kami. Civic juga telah mencatatkan angka jualan sebanyak 130,000 unit sejak generasi ketujuhnya diperkenalkan di Malaysia pada 2001 lalu.

“Begitu juga dengan Jazz yang telah mencapai jualan sebanyak 100,000 unit sejak generasi pertamanya dibawa masuk ke Malaysia pada 2003. Ia memberikan inspirasi buat kami apabila kedua-dua model berkenaan menjadi kgemaran rakyat Malaysia dan kami juga berharap dapat mencatatkan lebih banyak kejayaan pada tahun ini,” ujar Pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Honda Malaysia yang baru dilantik, Sarly Adle Sarkum pula berkata, “Saya kagum dengan komitmen dan dedikasi pasukan Honda Malaysia yang tinggi yang membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi di negara ini. Ia telah memberikan saya keyakinan bahawa kami dapat menyahut cabaran untuk memacu jualan yang lebih cemerlang lagi.

“Di kesempatan ini, kami ingin berterima kasih kepada semua pelanggan yang terus menyokong jenama kami. Malah kami komited untuk menyediakan Joy of Buying dan penawaran terbaik kepada pelanggan kami untuk kepuasan pelanggan yang lebih tinggi.”

15.jpg

Sempena dengan pengumuman ini, Honda Malaysia turut melancarkan kempen ‘Tech Frontier Rewards” untuk memberikan penghargaan buat pelanggan Honda mengetahui lebih lanjut mengenai Teknologi Termaju Generasi Akan Datang termasuk Honda SENSING, Turbo dan Sport Hybrid i-DCD.

Kempen ini menawarkan Bonus Honda, Bonus Bulanan Honda dan Hadiah Eksklusif bernilai sehingga RM5,000 (tertakluk pada terma & syarat) untuk yang membuat tempahan mana-mana model baharu Honda. Kempen ini adalah untuk semua model Honda kecuali Civic Type R, berlangsung mulai 1 Julai sehingga 30 September 2019.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini atau menempah sesi pandu uji mana-mana model baharu Honda, pelanggan boleh berkunjung mana-mana 98 pusat pengedaran bertauliah Honda di seluruh negara atau hubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau pun layari http://www.honda.com.my.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: