BMW Vision M Next PHEV untuk yang gemar memandu

- Advertisement -
Memang, pada masa hadapan pemandu boleh memilih untuk berada dalam kenderaan yang boleh bergerak sendiri, tetapi model konsep terbaru yang ditunjukkan oleh BMW ini, iaitu Vision M Next adalah untuk mereka yang gemar memandu. Walaupun begitu, ia masih disediakan dengan “bantuan komprehensif tetapi tertumpu”.
“BMW Vision M Next adalah sebuah kereta sports hibrid progresif yang memberikan pernyataan jelas dan yakin, dalam kedua-dua aspek penampilan dan hubungan,” kata timbalan presiden BMW Design, Domagoj Dukec.
Tanda gaya daripada kereta sports BMW klasik dan kontemporari diserapkan pada kereta konsep ini, dengan bahagian hadapannya yang rendah, pintu terbuka ke atas dan warna yang menyerlah menampakkan pengaruh inspirasi daripada BMW Turbo dan BMW i8. Warna metalik Cast Silver utama diserlahkan lagi dengan jalur Thrilling Orange neon di hadapan dan belakang kereta.
Merujuk kepada gril kidney kenderaan ini, BMW memberitahu lengkuk hujungnya yang lebih lembut mengingatkan kepada salur intake turbin dan memberikan impak lebih dinamik di bahagian hadapan. Bukaan dalam jeriji gril itu ditutup dengan lapisan lutsinar, yang kalau dilihat lebih dekat seperti terapung di dalam.
Lampu utama Vision M Next diletakkan lebih tinggi berbanding grilnya. Ia disusun secara bertingkat, dan merupakan terjemahan baru untuk identiti klasik BMW dengan empat mata (lampu depan). Lampu ini menggunakan teknologi Laser Wire baru, manakala perumahnya pula dibuat daripada gentian kaca yang dibalut dengan phosphorous untuk menjadikannya lebih kecil dan menarik.
Selain bumbung yang sudah sememangnya rendah, kenderaan ini kelihatan lebih dekat dengan jalan hasil penggunaan side skirt yang diperbuat daripada gentian karbon kitar semula serta padanan rim 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang. Satu lagi bahagian menarik adalah bukaan udara di hadapan lengkuk roda belakang yang bertindak sebagai saluran penyejuk serta meningkatkan aerodinamik.
Vision M Next adalah sebuah kenderaan plug-in hybrid yang menggunakan gabungan dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) serta enjin petrol empat silinder turbo. Melalui sistem pacuan Power PHEV, pemandu boleh memilih untuk bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya pada semua tayar ataupun dua tayar belakang sahaja.
Secara keseluruhannya sistem ini boleh mengeluarkan 600 hp dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa tiga saat. Terdapat juga mod Boost+ yang boleh memberikan kuasa tambahan setelah butang ditekan. Jarak gerak menggunakan elektrik sahaja bagi kenderaan ini adalah 100 km.
“BMW Vision M Next memberikan petunjuk awal kepada pemanduan sporty masa hadapan. Sementara BMW Vision iNext memberikan gambaran bagaimana pemanduan autonomous bersedia untuk menukar keadaan di dalam kenderaan, BMW Vision M Next ini pula menunjukkan bagaimana teknologi maju juga boleh menjadikan pemanduan lebih tulen dan menyenangkan,” kata timbalan presiden kanan BMW Group Design, Adrian van Hooydonk.