Data jualan kenderaan bagi bulan Mei 2019 ikut jenama

18

Bulan Mei menyaksikan kenaikan pembelian kenderaan oleh pengguna. Satu daripada faktornya tentulah musim Raya Aidilfitri, dengan promosi khusus yang diberikan oleh kebanyakan jenama pengeluar. Menurut laporan bulanan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sebanyak 60,780 unit kenderaan telah dijual sepanjang bulan lalu.

Itu merupakan peningkatan sebanyak 10,816 unit lebih kenderaan yang terjual berbanding sejumlah 49,964 unit yang dicatatkan pada April 2019. Angka berkenaan diterjemahkan kepada peningatan 21.6% dari bulan sebelumnya. Dalam tempoh sebulan itu, hampir semua pengeluar mencatatkan peningkatan jualan – banyak juga yang menyaksikan kenaikan mendadak.

Kedudukan paling atas seperti biasa masih lagi milik Perodua, walaupun hanya mencatatkan kenaikan sedikit; hanya 804 unit berbanding bulan sebelumnya. Ini diterjemah kepada kenaikan 3.6%, menjadikan angka keseluruhannya 22,945 unit. Berbeza dengan Proton; bulan Mei melonjakkan lagi angka jualannya kepada 10,611 unit. Ini merupakan kenaikan sebanyak 51.3% dari bulan sebelumnya dengan hanya 7,011 unit – meletakkannya di kedudukan kedua keseluruhan.

19.jpg

Peratusan kenaikan yang lebih banyak pula dicatatkan oleh Honda dengan 79.2%, dengan angka jualan keseluruhan mengikut rapat di belakang Proton sebanyak 10,509 unit. Walaupun jatuh ke tempat ketiga bermula April lalu, jenama Jepun ini masih lagi berada di depan bagi angka jualan sepanjang tahun setakat ini, dengan kelebihan hampir 3,000 unit, dengan keseluruhannya 38,874 unit berbanding 35,903 unit bagi Proton.

Toyota pula turut mencatatkan peningkatan 25.2% kepada 6,842 unit, sementara Nissan kekal ditempat kelima dengan 2,103 unit, naik 30.8% berbanding April. Lain-lain jenama yang turut mencatatkan peningkatan adalah seperti berikut; Peugeot (+57.5%), Lexus (+39.3%), Hyundai (+32.4%) dan Volkswagen (+24.7%).

Bagaimanapun langit tidak selalu cerah buat yang lain. Jualan Mazda misalnya jatuh 18.6% kepada 1,060 unit, diikuti juga oleh Kia dan Subaru. Bagi segmen premium pula, Mercedes-Benz sekali lagi mengatasi BMW dengan jualan 981 unit (naik 0.7%) berbanding BMW dengan 835 unit (naik 9.9%). Volvo pula terus menguncup dengan penurunan sebanyak 23.8%.

20.jpg

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: