Rueda tak ragui kemampuan Sanchez

30.jpg

SALVADOR: Jurulatih Chile, Reinaldo Rueda melabel Alexis Sanchez sebagai ‘penjaring gol semula jadi’ dan tidak pernah ragu penyerang itu akan menemui semula ketajamannya.

Sanchez yang juga penyerang Manchester United terus meledak ketika membantu pasukannya menang 2-1 terhadap Ecuador, semalam selepas turut menjaringkan gol ketika Chile menewaskan Jepun 4-0.

Pemain berusia 30 tahun itu tiba di Copa America dengan reputasi yang tercalar selepas mengharungi musim yang buruk bersama United yang menyaksikannya hanya menyumbat dua gol dalam semua kejohanan.

Persembahannya di Old Trafford dihantui dengan pelbagai siri kecederaan, termasuk masalah buku lali yang diperolehnya pada bulan lalu mengakibatkan gaji tinggi yang diperolehnya di United menjadi perdebatan.

Begitupun di Brazil, Sanchez terus menjadi antara tonggak pasukannya yang memenangi dua edisi kejohanan Copa America berturut-turut sebelum ini sebelum dipalit duka terlepas pusingan akhir Piala Dunia tahun lalu.

“Tidak mudah untuk memberikan penjelasan, tetapi Alexis datang ke sini dan menunjukkan begitu banyak komitmen. Di Manchester dia mungkin tidak mempunyai pertalian emosi seperti yang dia miliki bersama rakan sepasukannya di sini, perasaan itu,” kata Rueda.

“Dia berdepan nasib malang kerana Manchester United turut mempunyai masalah ketika ini, jadi dia tidak mempunyai struktur seperti dia miliki di sini. Dia juga berdepan kecederaan, kurang konsisten dan dia tidak mempunyai kesinambungan.

“Dia boleh pulih kerana dia adalah penyerang gol semula jadi tetapi dia sentiasa dihantui kebimbangan selepas kecederaan. Dia menjaga dirinya dengan baik dan bertuah untuk kembali meraih prestasinya.”

Pada perlawanan menentang Ecuador, Sanchez berkata dia berdepan masalah buku lali pada separuh masa pertama tetapi terus bermain kerana ‘ingin memberikan segala-galanya untuk pasukan kebangsaan.’

“Saya sentiasa mempunyai keinginan tinggi untuk bermain tetapi di England, peluang yang saya dapat baru-baru ini terhad,” kata Sanchez. “Tetapi saya tenang, kerana mewakili negara kami adalah perkara paling indah di sini.” – REUTERS

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: