Cech kembali ke Stamford Bridge

- Advertisement -
LONDON: Petr Cech membuat kepulangan semula ke Chelsea sebagai penasihat teknikal selepas menamatkan kariernya selaku penjaga gol, bulan lalu.
Cech, 37, akan menjalankan tugas sebagai orang tengah di antara pengurus baharu kelab itu dengan pengarah bola sepak, Marina Granovskaia selepas jawatan itu ditinggalkan kosong sejak Michael Emenalo meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal, hampir dua tahun lalu.
“Petr Cech kembali ke Chelsea sebagai Penasihat Teknikal dan Prestasi,” kata Chelsea dalam kenyataan.
“Fokus jawatan itu adalah memberikan nasihat terhadap semua perkara membabitkan bola sepak dan prestasi bagi keseluruhan kelab selain meningkatkan hubungan kukuh antara pasukan dan akademi kami, memastikan semua jabatan sokongan bekerjasama dengan berkesan.”
Cech memenangi 13 gelaran utama, termasuk empat Liga Perdana dan Liga Juara-Juara sepanjang 11 tahun menyarung jersi Chelsea sebelum menyertai Arsenal pada 2015.
Bekas pemain kebangsaan Republik Czech itu mengharungi perlawanan terakhirnya ketika kemenangan 4-1 Chelsea ke atas Arsenal pada final Liga Europa, bulan lalu.
“Saya berasa amat berbangga untuk berpeluang menyertai Chelsea sekali lagi dan membantu mencipta persekitaran prestasi tahap tinggi sebaik yang mungkin untuk meneruskan kejayaan kelab sejak 15 tahun lalu,” kata Cech.
“Saya tidak sabar untuk mengharungi cabaran baharu dan berharap dapat menggunakan semua pengetahuan dan pengalaman saya terhadap bola sepak untuk membantu pasukan lebih banyak kejayaan di masa depan.”
Cech mungkin kembali bekerjasama dengan salah seorang bekas rakan sepasukannya, Frank Lampard yang dijangka kembali ke Stamford Bridge sebagai pengurus susulan peletakan jawatan Maurizio Sarri. – AFP