Melaka perluas lampu isyarat pintar teknologi SGW

- Advertisement -
MELAKA: Kerajaan Melaka mahu memperluaskan penggunaan lampu isyarat pintar menggunakan teknologi ‘Synchronize Green Wave’ (SGW) di semua jalan utama di negeri ini.
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata ia susulan kejayaan projek perintis penggunaan sistem berkenaan di persimpangan bertingkat Ayer Keroh dan Padang Jambu, di sini.
Katanya, pemasangan lampu isyarat itu akan dibuat secara berperingkat dengan fokus di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dan laluan utama lain di negeri ini.
“Kita sudah lihat impak positif pengurangan kesesakan lalu lintas di persimpangan utama di Lebuh Ayer Keroh yang terbukti dapat memendekkan masa perjalanan khususnya ke pusat bandar.
“Teknologi SGW berupaya mengurangkan masa menunggu di setiap lampu isyarat kerana rangkaian sistem mampu dikawal melalui pusat kawalan di Jabatan Kerja Raya (JKR), Bahagian Elektrik Melaka,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi membangunkan sistem berkenaan.
Ia, katanya, termasuk naik taraf sistem kawalan lampu isyarat, aspek sistem lampu diod pemancar cahaya (LED), gegelung pengesan, tiang ‘overhead’, sistem pendawaian dan sistem kawalan berpusat lampu isyarat pintar.
Mohd Sofi berkata, sistem pintar itu membolehkan trafik terus berjalan tanpa perlu berhenti di setiap persimpangan berikutan laluan lampu hijau dapat diselaraskan mengikut jarak dan kelajuan kenderaan.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik usaha Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan sistem lampu isyarat pintar dikenali ‘SD-Traffic Light’ atau ‘lampu isyarat paparan tunggal’ yang boleh dikomersialkan.
“Bagaimanapun, sehingga kini kerajaan negeri belum menerima sebarang maklumat mengenai pembangunan serta keberkesanan sistem dibangunkan UTeM itu.
“Sekiranya ia dapat memberikan kesan yang baik, mungkin boleh diberi peluang untuk diuji dalam keadaan sebenar di persimpangan lampu isyarat,” katanya.