Sarri anggap `pencapaian gemilang’ dapat bimbing Juventus

0

28

- Advertisement -

TURIN: Maurizio Sarri berkata pelantikannya sebagai ketua jurulatih baharu Juventus sebagai `pencapaian gemilang’ dalam kerjayanya yang panjang dan mengalu-alukan kepulangannya ke Itali selepas semusim bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Juara Serie A itu mengikat Sarri dengan kontrak selama tiga tahun awal minggu ini selepas bersetuju membayar sejumlah pampasan kepada The Blues bagi membolehkan pengendali berusia 60 tahun itu menggantikan Massimiliano Allegri yang melepaskan jawatannya pada penghujung musim lalu.

“Ia pencapaian gemilang bagi satu kerjaya yang panjang,” kata Sarri kepada pemberita. “Di Napoli, saya memberikan segala-galanya sebelum mengambil keputusan untuk mencari pengalaman hebat di EPL. Juventus adalah kelab terbaik di Itali ketika ini dan menawarkan saya peluang untuk kembali ke Itali.

“Ia satu perjalanan yang panjang bagi saya yang bermula dari bawah. Saya gembira berada bersama pasukan paling penting di Itali dan ini satu langkah jauh ke hadapan selepas mendapat pengalaman di Chelsea,”.

Sarri pernah membimbing pesaing Juventus iaitu Napoli antara 2015 hingga 2018 dan hampir menggugat penguasaan gergasi Itali itu pada penghujung musim bersama kelab berkenaan. Kelab Naples itu bersaing dengan Juve sepanjang musim sebelum akhirnya tunduk dengan perbezaan empat mata.

“Selama tiga tahun saya berfikir secara berterusan bagaimana untuk menewaskan Juventus kerana mereka pasukan hebat.

“Saya berikan 110 peratus tetapi masih tidak mampu melakukannya. Ia satu pengalaman dan kini saya akan berikan segala-galanya untuk kelab ini.”

Meskipun Sarri menang kejuaraan Liga Europa bersama Chelsea dan membawa kelab itu ke tempat ketiga EPL, penyokong The Blues tetap tidak dapat menerima gaya permainannya yang berjaya menjulang Napoli sebelum itu. – REUTERS

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: