Mourinho mahu ‘ubah angin’

- Advertisement -
LONDON: Bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendedahkan perancangan masa depannya apabila berkata dia bersedia untuk mengendalikan skuad kebangsaan.
Selepas memenangi pelbagai trofi di peringkat kelab, pengendali dari Portugal itu ‘menganggur’ sejak dipecat Red Devils pada Disember 2018 dan bertugas sebagai pengulas bersama penyiar beIN SPORTS.
Begitupun, dalam satu temuramah, bekas pengurus Porto, Inter Milan, Chelsea dan Real Madrid berusia 56 tahun itu menyuarakan keinginannya untuk mengharungi cabaran baharu di arena pengurusan.
“Saya ingin bersaing di kejohanan yang baharu,” kata Mourinho. “Saya berfikir mengenai Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah (Euro). Sudah lama saya mempunyai keinginan untuk mencuba pengembaraan seperti itu.
“Ketika ini, saya melihat diri saya lebih ke arah pasukan kebangsaan berbanding kelab baharu. Adakah Portugal pasukan yang tepat untuk saya? Tidak semestinya.”
Mourinho menikmati karier penuh gemilang di peringkat kelab sejak menjulang trofi liga pertamanya bersama Porto pada 2003 sebelum memenangi Liga Juara-Juara pada musim berikutnya.
Dia sekali lagi menjulang gelaran sama bersama Inter pada 2010 selain Serie A selepas membimbing Chelsea memenangi gelaran Liga Perdana pada 2005 dan 2006 serta empat trofi domestik.
Bersama Real, Mourinho memenangi gelaran keempat liga di empat negara berbeza pada 2012 tetapi prestasinya di United tidak berjalan seperti dirancang sebelum meninggalkan kelab berkenaan dengan menjulang trofi Liga Europa pada musim 2017. – AGENSI