12

Ingat lagi dengan jenama Bogward yang muncul di Malaysia sebelum ini? Sekarang ada perkembangan terbaru berkaitan jenama itu; kerja-kerja pemasangan semi-automatik bagi model Bogward BX5 telah pun dimulakan. Model ini dirancang pengenalannya pada suku keempat tahun ini dalam bentuk CKD dan pemanduan sebelah kanan.

Bogward BX5 merupakan sebuah SUV lima-tempat duduk dengan dimensi 4,490 mm panjang, 1,877 mm lebar dan 1,675 mm tinggi serta 2,685 mm jarak antara roda. Laman web rasmi Bogward Malaysia juga telah menyenaraikan tiga tahap kemasan yang bakal ditawarkan – Fashion, Luxury dan Special Edition (SE).

Versi Fashion dinyatakan bakal dilengkapi enjin 1.4 liter turbocaj petrol dengan janaan kuasa 150 PS pada 5,500 rpm dan 250 Nm dari 1,750-4,000 rpm; ini dipadankan pula dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dalam pacuan 2WD.

13.jpg

Bagi versi Luxury dan Special Edition pula, ia akan dilengkapi enjin 2.0 liter turbocaj petrol yang menghasilkan 224 PS pada 5,500 rpm dan 300 Nm tork dari 1,500-4,500 rpm dan menggunakan kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Antara kelengkapan lain yang ada termasuk lampu utama halagen bagi varian Fashion dan Xenon automatik bagi dua varian yang lebih tinggi; ketiga-tiganya turut dipasang DRL, lampu isyarat dan lampu belakang LED. Cermin pandang belakang bagi dua varian teratas boleh dilipat serta pintu ruang barangan belakang kuasa elektrik.

Untuk membezakannya, kemasan dalaman bagi Luxury dan SE pula menggunakan kemasan kulit asli. Ketiga-tiga varian bagaimanapun dilengkapi dengan tempat duduk larasan enam-cara dengan sokongan lamdar. Semuanya juga turut didatangkan dengan bumbung panoramik dan cermin pandang belakang anti-silau.

14.jpg

Stereng balutan kulit ditawarkan sebagai standard, begitu juga dengan skrin sentuh lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay yang turut tersenarai untuk semua varian. Ciri pengesanan suara dan sistem tunjuk arah dalam bahasa Inggeris turut tersenarai. Tidak ketinggalan ciri Bluetooth, dua port USB dan AUX untuk audio. Ada enam pembesar suara pada Fashion, sementara bagi dua lagi varian ada lapan unit pembesar suara.

Semua tingkap kuasa boleh dibuka dan ditutup hanya dengan satu sentuhan. Varian Luxury dan SE turut didatangkan dengan sistem pendingin hawa dwi-zon dan corong berasingan untuk penumpang di belakang. Untuk kesenangan masuk parkir, Fashion dilengkapi dengan kamera undur, sementara dua lagi varian datang dengan bantuan parkir 360-darjah.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.