08.jpg

- Advertisement -

PERMAINAN tradisional seperti galah panjang dan lari nyiur antara permainan yang mengisi masa lapang kanak-kanak pada zaman dahulu.

Ketika itu, belum ada lagi gajet atau permainan video. Kalau ada sekalipun, hanya segelintir orang yang mampu memilikinya.

Kemajuan teknologi pada hari ini banyak membawa kemudahan kepada cara dan gaya hidup manusia.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu sentiasa beringat dan memantau rapi anak supaya tidak terlalu melebihkan gajet dalam kehidupan mereka.

Jika kita gagal berbuat demikian, ia memberi kesan buruk kepada perkembangan mental, emosi, jasmani dan rohani mereka.

Sedikit sebanyak pasti perkara negatif akan menyerap masuk serta mempengaruhi akal dan jiwa mereka.

Tidak mustahil juga pengabaian terhadap pelajaran akan berlaku. Begitulah dalam isu penggunaan gajet dalam kalangan generasi muda.

Kesungguhan dan keprihatinan kita dalam memastikan keperibadian jiwa dan rohani anak tidak boleh dijadikan perkara sampingan.

Sebaliknya, aspek didikan agama, moral dan memantapkan keutuhan jiwa wajib diutamakan.

Walaupun anak kita hidup dan membesar dalam era moden, keutamaan kepada pendidikan agama dan akhlak mesti ditunaikan.

Tindakan mengehadkan masa penggunaan gajet kepada dikira satu tindakan bijak.

Ibu bapa perlu tegas dalam memberikan kawalan lebih ketat kepada anak. Biarlah mereka menangis hari ini lantaran tidak dapat ‘berpisah’ dengan gajet asalkan kita tidak ‘menangis’ pada kemudian hari.

Didik dan bimbinglah anak supaya menghabiskan lebih banyak masa dengan perkara bermanfaat.

Asuh mereka menjadikan al-Quran sebagai teman karib sebelum bertemankan gajet. Sudah terbukti generasi muda mudah terdedah pelbagai kemungkinan buruk akibat kurang kawalan terhadap penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak.

Itulah yang sangat dibimbangi dan ibu bapa perlu berhati-hati. Kita bimbang anak yang masih kecil terlalu banyak terdedah kepada permainan atau paparan video yang bertentangan dengan nilai agama dan moral.

Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memberikan nasihat dan panduan kepada anak supaya mereka tidak terjerumus dalam perkara tidak bermoral dan menyalahi agama itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka…” (Su-rah Al-Nur, ayat 30-31)

Ayat itu sewajarnya diperhalusi dalam memberikan didikan kepada anak termasuk dalam hal penggunaan gajet.

Jangan sampai ke tahap anak ketagih dengan adegan ganas serta tidak bermoral yang tanpa sedar sebagai ibu bapa kita turut sama menanggung ‘sahamnya’.

Didiklah anak supaya takut dan berasa jijik melihat perkara haram di sisi agama. Hayati kisah seorang sahabat Nabi SAW bernama Jarr bin Abdullah.

Katanya: “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang terpandang perkara yang diharamkan secara tidak sengaja. Jawab Baginda SAW: ‘Kamu hendaklah alihkan pandanganmu itu.’” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kita semua perlu sentiasa berwaspada dengan corak kehidupan anak kita. Jangan dibuat sambil lewa kerana kesannya teramat buruk.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: