‘Hazard kehilangan besar tapi bukan bencana’

23

LONDON: Tindakan Eden Hazard menyertai Real Madrid satu ‘kehilangan besar’ buat Chelsea tetapi ia bukannya malapetaka kepada Blues, kata bekas pemain Mark Schwarzer.

Sejak menyertai Chelsea tujuh tahun lalu, Hazard menjadi tonggak di Stamford Bridge dan mengukuhkan reputasi sebagai antara pemain terbaik dunia tetapi bagi Schwarzer, lompong yang ditinggalkan olehnya mampu diisi pemain lain.

Selepas perpindahannya ke Real dilengkapkan dengan Blues turut berkemungkinan berdepan penggantungan pembelian pemain, tugas untuk mencari penggantinya pasti tidak mudah tetapi Schwarzer menegaskan ia bukan mustahil.

“Tidak perlu menyebut betapa pentingnya Eden Hazard kepada pasukan sejak beberapa tahun lalu,” kata bekas penjaga gol, Schwarzer yang turut menjangkakan Chelsea akan terus mencabar kedudukan empat terbaik Liga Perdana pada musim depan.

“Tetapi saya tahu kadang kala pemain sehebat itu, pemain yang penting, pemain yang perlu sentiasa memegang bola, kadang kala boleh menjadi tumpuan dan menggalas tanggungjawab pemain lain.

“Apa yang akan berlaku sekarang ialah akan ada pemain di dalam skuad yang akan melangkah ke depan dan mula menunjukkan prestasi yang lebih konsisten.

“Ada beberapa pemain di Chelsea yang prestasinya terumbang ambing selama beberapa musim dan kini mereka mempunyai peluang (untuk membuktikan kemampuan mereka).

“Mereka kehilangan salah seorang pemain terbaik dunia dan ia satu kehilangan yang besar, tiada keraguan mengenainya. Tetapi Chelsea masih memiliki skuad yang amat kuat dan kamu juga perlu menimbang jumlah pemain yang mereka pinjamkan.

“Frank (Lampard) sedang menunggu posisinya, dan jika dia menjadi pengurus berikutnya, dia akan memikirkan apa yang mungkin berhasil untuk pasukan, bagaimana kita boleh menampungnya, bagaimana kita akan campur dan padankan pemain untuk 12 bukan berikutnya?

“Saya masih percaya Chelsea akan mencabar kedudukan empat terbaik. Mereka lebih daripada mampu bersama kualiti yang mereka ada dalam skuad, mereka hanya memerlukan adunan yang tepat.”

Chelsea sudah pun mengesahkan perjanjian bagi mendapatkan bintang Borussia Dortmund, Christian Pulisic pada Januari lalu tetapi kelab itu dijangka tidak meletakkan tekanan berlebihan kepadanya musim depan. – AGENSI

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: