31.jpg

LONDON: Bintang tengah Perancis, Paul Pogba bertekad tinggi untuk menyertai Real Madrid musim panas ini sekali pun Manchester United enggan melepaskannya, menurut laporan media di Sepanyol.

Pengurus Real, Zinedine Zidane menjadikan Pogba antara buruan utamanya tetapi United dikatakan tidak berminat dengan sebarang tawaran dalam usaha kelab Inggeris itu membina semula pasukan bagi mencabar kejuaraan Liga Perdana musim depan.

Menurut Marca, Pogba akan terus mencari jalan untuk angkat kaki dari Old Trafford untuk ke Santiago Bernabeu dan ia dikuatkan apabila ejennya Mino Raiola turut dilepaskan daripada penggantungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Pogba menjadi pilihan utama Zidane di bahagian tengah tetapi harganya tidak murah, dengan United menilaikannya sekitar 150 juta pound (RM786.97 juta).

Pemain berusia 26 tahun itu ketika ini berada di Asia bersama penaja, Adidas yang membuktikan popularitinya di seluruh dunia.

Pogba masih mempunyai kontrak selama dua tahun di United dan kekal menjadi antara aset terbesar kelab itu yang terlepas aksi Liga Juara-Juara musim depan.

Marca turut melaporkan juara Perancis, Paris Saint-Germain juga kekal sebagai destinasi alternatif buat Pogba dengan pemain itu memiliki hubungan rapat dengan bandaraya berkenaan dan rakan sepasukannya di skuad kebangsaan termasuk Kylian Mbappe.

Zidane dianugerahkan dana berstatus mega musim ini sejak kembali mengemudi kelab itu dan sudah membawa masuk lima pemain baharu berprofil tinggi iaitu Eden Hazard, Luka Jovic, Eder Militao, Ferland Mendy dan Rodrygo dengan nilai keseluruhan 344 juta pound (RM1.8 bilion). – AGENSI

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.