22

MADRID: Eden Hazard berharap untuk menjadi ‘Galactico’ di Real Madrid dan percaya dia menyertai kelab berkenaan di tahap terbaik dalam kariernya.

Hazard diperkenalkan sebagai pemain Real di hadapan lebih 50,000 peminat di Santiago Bernabeu, semalam selepas perpindahannya dari Chelsea dimuktamadkan minggu lalu.

“Saya belum lagi menjadi galactico, belum lagi, tetapi saya berharap untuk menjadi seperti itu satu hari nanti,” kata Hazard. “Walaupun segala yang saya sudah lakukan sebelum ini, ia seperti bermula sekali lagi daripada kosong.

“Saya bukan galactico, saya Eden Hazard, hanya pemain yang amat baik.”

Real dikatakan membayar Chelsea 100 juta euro (RM469.79 juta) untuk mendapatkan Hazard dengan tambahan 45 juta euro (RM211.41 juta) bagi pemain berusia 28 tahun itu yang menandatangani kontrak selama lima tahun.

Hazard mengakui Real cuba mendapatkan khidmatnya selepas Piala Dunia tahun lalu tetapi menegaskan ini adalah tempoh yang tepat untuk dia meninggalkan Chelsea.

“Saya tidak fikir ia terlalu lewat, saya berusia 28 tahun, tempoh terbaik bagi pemain,” kata Hazard. “Saya mengharungi beberapa fasa dalam karier saya, di Lille dan Chelsea, dan kini saya merasakan ini adalah masa yang tepat untuk menyertai kelab terbaik di dunia.”

Real bergelut selepas kehilangan Cristiano Ronaldo musim lalu dengan Hazard dijangka diberi tugas mengisi lompong berkenaan dengan kelab itu turut sudah mengesahkan kehadiran Eder Militao, Luka Jovic dan Ferland Mendy musim panas ini.

“Apabila kamu bermain untuk pasukan seperti Real Madrid, ia bukan mengenai seorang bintang, keseluruhan pasukan ini adalah bintang,” kata Hazard.

“Saya berada di Chelsea selama tujuh tahun, tetapi kini saya adalah lelaki baharu di kelab baharu dan akan cuba memberi sumbangan sebanyak mungkin.” – AFP

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.