Aston Villa ikat perancang Belanda

38

LONDON: Pasukan yang baharu dinaikkan ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Aston Villa sebentar tadi mengumumkan sudah selesai menandatangani secara tetap pemain Belanda, Anwar El Ghazi daripada kelab Perancis, Lille.

Pemain perancang berusia 24 tahun itu bersetuju dengan kontrak selama empat tahun, selepas semusim dipinjamkan untuk beraksi di Villa Park.

El Ghazi beraksi bersama pasukan muncul juara perlawanan play-off menentang Derby County bulan lalu itu, dengan menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 yang membolehkan mereka dinaikkan ke EPL musim depan.

Bos Villa, Dean Smith dalam satu kenyataan menerusi laman sesawang rasmi Aston Villa berkata:”Anwar sudah berjaya membuktikan kehebatannya bersama Villa kepada ramai pihak menerusi aksi cemerlang di Wembley.

“Dia kini sudah sedia untuk melangkah lebih jauh dalam saingan EPL dan menyerlahkan potensinya sebagai pemain muda yang hebat.

“Kini menjadi tugas saya dan staff kejurulatihan selain Anwar sendiri untuk menampilkan potensi sebenar dirinya. Sudah pasti dia akan menjadi pelengkap tambahan terhebat kepada skuad kami bagi musim depan,”.

Selain satu jaringan di Wembley, El Ghazi yang sehingga kini sudah mewakili Belanda sebanyak dua kali, menjaringkan lima gol sepanjang dipinjamkan bersama Villa untuk membantu pasukan itu menduduki tangga kelima carta kejuaraan bola sepak Inggeris musim lalu.

Beliau adalah pemain kedua diikat oleh Villa pada musim panas, selepas penyerang Birmingham City, Jota pada minggu lalu. – AFP

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: