Lagi tekanan ke atas Huawei

09

NEWPORT BEACH, California/NEW YORK: Beberapa syarikat teknologi terbesar di dunia sudah memaklumkan kakitangan masing-masing supaya berhenti bercakap berkaitan teknologi dan standard teknikal dengan rakan sejawat di Huawei Technologies Co Ltd.

Ia sebagai maklum balas kepada langkah Amerika Syarikat (AS) menyenarai hitam firma teknologi China itu baru-baru ini, demikian menurut sumber hampir dengan perkara itu.

Pengeluar cip Intel Corp dan Qualcomm Inc, firma penyelidikan mudah alih InterDigital Wireless Inc dan LG Uplus dari Korea Selatan sudah menyekat kakitangannya daripada perbualan tidak rasmi dengan Huawei, pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar di dunia, kata sumber itu.

Perbincangan sedemikian adalah sebahagian daripada rutin mesyuarat antarabangsa yang mana para jurutera berkumpul untuk menetapkan standard teknikal untuk teknologi komunikasi, termasuk rangkaian mudah alih generasi akan datang yang akan dikenali sebagai 5G.

Jabatan Perdagangan AS tidak mengharamkan interaksi antara syarikat dan Huawei.

Pada 16 Mei, agensi itu meletakkan Huawei dalam senarai hitam, menyekatnya daripada menjalankan perniagaan dengan syarikat-syarikat AS tanpa kelulusan kerajaan. Beberapa hari kemudian ia membenarkan syarikat-syarikat AS berinteraksi dengan Huawei dalam badan-badan berkaitan standard hingga Ogos “berikutan ia perlu bagi pembangunan standard 5G.”

Jabatan Perdagangan mengulangi kedudukan itu pada Jumaat sebagai maklum balas kepada pertanyaan Reuters.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya beberapa syarikat teknologi AS dan luar negara memaklumkan kakitangan masing-masing supaya mengehadkan beberapa bentuk interaksi langsung, bagi mengelakkan sebarang masalah akan datang dengan kerajaan AS.

Intel dan Qualcomm berkata mereka memberikan arahan pematuhan kepada kakitangan, tetapi enggan mengulas lanjut.

Jurucakap InterDigital berkata ia memberikan panduan kepada para jurutera untuk memastikan syarikat mematuhi peraturan AS.

Pegawai di LG Uplus berkata, syarikat itu “secara sukarela menahan diri daripada berinteraksi dengan kakitangan Huawei, selain daripada mesyuarat berkaitan pemasangan atau penyelenggaraan peralatan rangkaian.”

Huawei tidak memberikan komen.

Sekatan baharu itu dijangka melambatkan pelaksanaan 5G, yang dijangka akan memperkasakan segala-galanya daripada transmisi video berkelajuan tinggi hinggalah kepada kereta yang memandu secara sendiri, demikian menurut beberapa pakar industri. – Reuters

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: