Audi A7 Sportback kini di M’sia – 3.0 TFSI, RM610k

14

Secara senyap, Audi Malaysia rupanya telah membawa model genarasi baharu A7 Sportsback ke pasaran tempatan. Kami telah ke Audi Glenmerie setelah menerima maklumat berkenaan, dan model ini disahkan di jual pada pasaran tempatan pada harga atas jalan tanpa insuran RM609,900.

Jika dibandingkan dengan model facelift generasi sebelum ini yang juga diimport sepenuhnya (CBU), model terkini berkenaan nampaknya dijual dengan harga lebih rendah kerana versi yang dilancarkan pada tahun 2015 yang lalu dijual pada harga RM625,900.

Model generasi kedua ini mula diperkenalkan pada peringkat global pada penghujung 2017. Ia masih lagi menerapkan bentuk badan Sportback sama seperti model sebelumnya, dengan saiz juga tidak jauh berbeza.

Versi terkini ini hadir ke pasaran Malaysia dengan kemasan S Line yang lebih sporty dari model standard dan menerima lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, bersama set rim 20-inci dengan tayar UHP 255/40R20 Pirelli P-Zero.

15.jpg

Perubahan terbesar untuk model baharu ini sebenarnya adalah pada bahagian dalaman. Ia diberikan kelengkapan kabin hampir sama seperti Audi A8 terbaharu menampilkan panel-panel kawalan digital sepenuhnya.

Dua skrin diberikan pada bahagian tengah papan pemuka. Pada bahagian atas adalah skrin sistem infotainmen bersaiz 10.1-inci (dengan tindak balas haptic) yang akan menghala ke pemandu serta direka agar “hilang” ketika enjin dimatikan.

Manakala di bawah, skrin bersaiz 8.6-inci diberikan bagi mengawal sistem pendingin hawa, pemanas tempat duduk serta tetapan fungsi-fungsi lain seperti bantuan kekal lorong dan start/stop enjin. Ia juga bertindak sebagai pad sesentuh untuk menaip. Skrin yang sama turut terdapat pada SUV flagship Audi iaitu Q8.

Model yang dipamerkan ini juga menerima pelbagai lagi kelengkapan lain seperti sistem bunyi Bang Olufsen, pendingin hawa empat-hala, paparan head-up, bumbung suria, dan juga papan pemuka dengan kemasan kulit. Pakej S line juga memberikan kemasan-kemasan gelap pada panel pintu A7 ini.

16.jpg

Audi A7 Sportback TFSI dijana oleh enjin baharu 3.0 liter V6 turbo-berkembar menjana 340 hp dan tork maksima 500 Nm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S tronic dan juga sistem pacuan semua roda Audi Quattro. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Enjin ini juga sebenarnya turut menerima sistem hibrid ringkas (MHEV) Audi, yang terdiri dari sistem elektrikal 48-volt, bateti lithium-ion dan alternator stater yang digerakkan dengan tali sawat, memberikan kuasa pemulihan sehingga 12kW ke bateri ketika membrek.

Dengan sistem MHEV ini, enjin akan dimatikan ketika kereta berkenaan ‘berlayar’ pada kelajuan 55 hingga 160 km/j, dan sistem start-stop enjin yang bermula pada 22 km/j. Secara keseluruhan, sistem ini dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.7 liter/100 km.

Dalam pasaran, A7 Sportback ini akan berhadapan terus dengan Mercedes-Benz CLS, sebagai sedan empat pintu yang lebih sporty dari Audi A6 atau E-Class. Dari segi prestasi, CLS 450 mampu menghasilkan 362 hp/500 Nm dari enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris juga dengan sistem hibrid ringkas. Oleh itu, Mercedes berkenaan mampu untuk memecut dengan lebih cepat (0-100 km/j 4.8 saat) tetapi dijual lebih malah iaitu RM698,888.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: