GALERI: Honda HR-V RS dengan dalaman hitam

- Advertisement -
Semasa dilancarkan lima bulan lalu, Honda HR-V facelift datang dengan varian RS yang lebih sporty. Ia sebenarnya menggunakan varian Grade V sebagai asas dan dijadikan lebih bergaya. Bahagian dalam versi RS ini kemudiannya menggunakan warna Ivory.
Sekarang, warna bahagian dalam telah diubah kepada hitam penuh, bermakna balutan kulit tempat duduk, konsol tengah, kemasan panel papan pemuka serta panel pintu yang sebelum ini berwarna Ivory semuanya kini berwarna hitam. Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan bagi varian ini.
HR-V RS datang dengan gril sports di hadapan, hiasan pada lampu kabus, serta kemasan warna hitam pada bahagian seperti bawah bampar hadapan dan belakang, side sill serta cermin sisi. Pemegang pintu pula menggunakan warna krom manakala hiasan tepi nombor plet menggunakan warna krom gelap. Varian ini juga dilengkapi dengan rim 18 inci dua tona dengan tayar 225/50.
Sama seperti varian petrol Grade E dan Grade V, HR-V RS dilengkapi dengan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC serta padanan kotak gear CVT, yang mampu menghasilkan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan 172 Nm tork pada 4,300 rpm. Unik baginya, ia dilengkapi dengan sistem stereng baru Variable Gear Ratio (VGR).
Kelengkapan lain yang ada pada model ini adalah termasuk lampu LED (dengan pelarasan automatik), lampu kabus LED, roda stereng kulit, skrin paparan sistem audio 7.0 inci serta tempat duduk pemandu larasan kuasa. Untuk ciri keselamatan terdapat Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan varian RS ini juga datang dengan kamera titik buta Honda LaneWatch.
Honda HR-V RS dijual pada harga RM124,800 atas jalan tidak termasuk insurans, dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Passion Red Pearl, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.