Giroud bengang kehadiran Higuain

20.jpg

LONDON: Penyerang Chelsea, Olivier Giroud mengakui keputusan Maurizio Sarri untuk menandatangani Gonzalo Higuain berbanding meletakkan lebih kepercayaan terhadapnya membuatkannya ‘sakit hati’.

Begitupun, bekas pemain Arsenal itu menegaskan dia masih kekal komited terhadap kelab berkenaan.

Giroud hanya disenarai tujuh kali dalam kesebelasan utama Blues bagi aksi Liga Perdana untuk keseluruhan 27 penampilan pada musim pertama Sarri di Stamford Bridge dan meledak dua gol.

Dia lebih digunakan dalam saingan Eropah dan meledak 11 kali dalam 14 penampilan yang menyaksikan Chelsea menjulang trofi Liga Europa tetapi mendedahkan kehadiran Higuain pada Januari sebagai menjengkelkan.

Higuain tiba sebagai pemain pinjaman ketika Sarri lebih mementingkan pemain yang pernah bekerja bersamanya di Napoli berbanding memberikan Giroud lebih peluang untuk bermain.

Penyerang Argentina itu begitupun hanya meledak lima gol dalam 14 penampilan di Liga Perdana sekali gus mencetus persoalan buat Giroud mengapa Sarri meminggirkannya.

“Benar pada satu tahap saya pergi berjumpanya (Sarri) apabila saya tidak faham mengenai pilihannya,” kata Giroud.

“Dia memberikan saya penjelasan. Apa yang membuatkan saya sakit hati adalah pada Januari dia memilih untuk mendapatkan pemain baharu di bahagian serangan yang dia kenali dengan amat baik, Higuain dan ia tidak mudah bagi saya.

“Seperti biasa, saya cuba kekal fokus untuk membuktikan saya boleh bermain. Saya cuba fokus dan membuktikan dia salah mengenai sesetengah pilihannya.

“Tetapi apabila kamu mendapatkan pemain pada Januari, sukar untuk kamu meletakkannya di bangku simpanan dan tidak menggunakannya.”

Giroud, 32, menandatangani kontrak lanjutan selama setahun pada bulan lalu dengan Chelsea ketika ini dilarang membeli pemain baharu berikutan penggantungan.

“Saya memiliki sekurang-kurangnya setahun lagi di England dan ada peluang untuk ia melebihi setahun” kata Giroud yang tiba di Chelsea lima tahun lalu. “Saya tidak melihat diri saya di tempat lain berbanding di Chelsea.

“Saya tidak berpeluang untuk bermain banyak kali di liga, dan ia tidak menggembirakan saya tetapi saya cuba untuk menjadi efektif setiap kali disenaraikan sekalipun kecewa.” – AGENSI

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: