24.jpg

LONDON: Diego Maradona berkata beliau adalah orang yang tepat untuk ‘memulihkan’ Manchester United dengan legenda Argentina itu turut mendakwa memiliki ‘magis’ untuk mengembalikan kegemilangan di Old Trafford.

Maradona ketika ini menguruskan kelab liga divisyen dua Mexico, Dorados tetapi gagal membimbing pasukan itu mara ke liga utama selepas dua musim.

United ketika ini dikendalikan Ole Gunnar Solskjaer, yang menggantikan Jose Mourinho sebagai pengendali sementara pada Disember sebelum diberikan jawatan sepenuh masa.

Sekali pun belum terbukti sebagai pengurus hebat, Maradona yang juga wira Piala Dunia Argentina percaya beliau orang yang mampu membawa pulang trofi ke Old Trafford jika diberikan peluang menguruskan Red Devils.

“Jika Manchester United memerlukan jurulatih, saya adalah lelaki yang tepat,” katanya dalam satu temuramah. “Saya tahu mereka banyak menjual jersi di seluruh dunia, tetapi mereka perlu memenangi trofi. Saya boleh melakukannya untuk mereka.”

Sebelum menguruskan Dorados, Maradona menjadi jurulatih skuad kebangsaan Argentina dari tahun 2008 hingga 2010 sebelum mengendalikan kelab Emiriah Arab Bersatu, Al Wasl dan Fujairah.

Beliau turut menjadi pengerusi di Dynamo Brest dan pembantu pengurus di Deportivo Riestra.

Bekas bintang Napoli itu turut memberikan pendapat jika diberi peluang melakukannya.

“Di United, saya menggemari Ander Herrera. Paul Pogba? Tidak berusaha cukup keras,” katanya. “Saya bermain di Old Trafford (suku akhir Piala Juara-Juara 1983/84). Bunyi yang mengagumkan, seperti Bombonera (Stadium Boca Juniors).”

Sekalipun mengharapkan jawatan di United, Maradona begitupun mengakui menjadi peminat kelab kelab seteru, Manchester City yang jentera serangannya diketuai bekas menantunya, Sergio Aguero. – AGENSI

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.