Guardiola takkan tinggalkan City

- Advertisement -
LONDON: Bekas pertahanan Juventus, Lilian Thuram percaya sukar untuk Pep Guardiola meninggalkan Manchester City sekali pun pengendali itu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke juara Serie A itu.
Guardiola dikaitkan dengan perpindahan ke Turin selepas memenangi dua gelaran Liga Perdana sepanjang tiga musim bersama City dengan Juve membuat kejutan memecat pengurusnya Massimiliano Allegri bulan lalu.
Selain bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu, pengendali Chelsea Maurizio Sarri turut dikaitkan dengan gergasi Itali itu tetapi Thuram yang memenangi dua gelaran Serie A bersama Juve berasakan sukar untuk Guardiola meninggalkan City.
“Guardiola pengurus yang hebat, tetapi sejujurnya saya fikir dia tidak akan meninggalkan Manchester City,” kata Thuram. “Juventus sentiasa memiliki pengurus yang hebat dan saya fikir bola sepak menarik kerana kamu boleh bermain dengan pelbagai gaya.
“Kamu boleh bermain dengan gaya Guardiola atau dengan gaya (pengurus Liverpool, Jurgen) Klopp. Mereka memiliki gaya yang berbeza.”
“Juve memenangi banyak gelaran di Serie A berturut-turut kerana mereka mempunyai pengurus yang amat baik. Dan saya yakin pengurus Juve berikutnya juga seorang yang hebat. Kelab sentiasa tahu cara untuk melakukannya.”
Juve memenangi gelaran kelapan Serie A berturut-turut tetapi pemburuan mereka untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara yang kali terakhir dimenangi pada 1996 terus buntu.
Mengenai peluang Sarri yang juga bekas bos Napoli memegang jawatan itu, Thuram memuji kualiti pengendali berusia 60 tahun itu.
“Saya tidak mengenai Sarri sebagai pengurus dengan baik, tetapi saya tahu pasukannya bermain dengan hebat,” katanya. “Napoli kendaliannya bermain dengan amat baik dan dia menang sesuatu di Chelsea, tetapi saya juga ada membaca sesuatu yang beliau tidak mahu meninggalkan Chelsea.” – AGENSI