Proton Exora RC 2019 vs Perodua Alza: kami banding kos servis kedua-duanya untuk 5 tahun/100,000 km

18

Ketika pelancaran Proton Exora RC 2019 tempoh hari, Proton sekali lagi membuat perbandingan kos servis produk mereka terhadap saingan terdekatnya. Untuk Exora ini, jenama berkenaan membandingkan dua model dari pengeluar lain yang dinamakan sebagai “Model X” dan “Model Y”.

Model yang mempunyai perbezaan paling sedikit antara kedua-duanya dalam perbandingan ini adalah Model X – dengan beza sekitar RM200, dan setelah diteliti dengan pelbagai maklumat, Model X yang dimaksudkan tersebut adalah Perodua Alza 1.5 dengan transmisi automatik.

Secara Am, Proton Exora adalah MPV tujuh-tempat duduk dijana oleh enjin CFE 1.6 liter turbo empat-silinder menjana 140 PS/205 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik, dengan dimensi 4,610 mm panjang, 1,809 mm mm lebar dan jarak roda 2,730 mm.

Manakala Alza pula dikuasakan oleh enjin 3SZ-VE 1.5 liter empat-silinder NA menghasilkan 104 PS/136 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan. Model dari Perodua ini dibina dengan dimensi 4,220 mm panjang, 1,695 mm lebar, dengan jarak roda 2,750 mm.

19.jpg

Bagi mendapatkan harga senarai servis berkenaan, kami ambil dari kedua-dua sumber rasmi (sehingga 31 Mei 2019) iaitu aplikasi MyProton dan juga laman web rasmi Perodua. Tidak seperti perbandingan antara Persona dan Bezza Februari lalu, kali ini untuk Perodua kami tidak masukkan item-item opsyenal dari pakej Pro Care bagi mengelakkan kekeliruan.

Kita mulakan dengan minyak pelincir. Untuk Perodua, ia agak sedikit unik kerana untuk servis pertama (sebulan/1,000 km) dan kedua (tiga bulan/5,000 km) ia menggunakan minyak pelincir semi sintetik 5W-30 API SL. Masuk servis ketiga (6 bulan/10,000 km), ia ditukar kepada minyak lebih mahal iaitu 5W-30 API SM, membolehkan sela masa servisnya selepas itu menjadi lebih panjang iaitu 10,000 km dan bukan lagi 5,000 km.

Bagi Proton Exora pula, ia kekal menggunakan minyak pelincir Petronas Syntium 800 SE 10W-30 dengan rating API lebih terkini iaitu SM. Secara keseluruhan, kos keseluruhan untuk minyak enjin Exora adalah lebih tinggi berbanding Alza untuk tempoh 5 tahun/100,000 km ini.

Untuk palam pencucuh pula, Alza perlu untuk menukar komponen berkenaan setiap 20,000 km. Manakala untuk Exora yang menggunakan palam pencucuh jenis Iridium yang lebih mahal, ia hanya perlu ditukar setiap 70,000 km. Walau bagaimanapun, jika dihitung untuk tempoh masa 5 tahun/100,000 km ini, kos untuk menukar palam pencucuh antar Alza dan Exora sebenarnya adalah lebih kurang sama.

Jadual penyelenggaraan untuk Proton Exora RC 1.6L CVT 2019 (kiri), Perodua Alza 1.5L AT (kanan); klik untuk besarkan

Perodua telah menyenaraikan penapis udara kabin untuk sistem penghawa dingin perlu ditukar setiap 30,000 km. Manakala untuk Exora pula, komponen yang sama tidak disenaraikan oleh Proton – mungkin ia hanya perlu ditukar sekiranya diperiksa sudah terlalu kotor.

Untuk tali sawat (bagi menggerakkan pemampat pendingin hawa dan alternator) pula, Proton Exora perlu ditukar pada 100,000 km, manakala Perodua tidak menyenaraikannya dalam jadual penyelenggaraan.

Bagaimana pula dengan timing belt? Perodua seperti diketahui tidak menggunakan tali sawat ini sebaliknya menggunakan rantai (timing chain) yang tidak perlu ditukar. Untuk Exora pula, timing belt berkenaan perlu ditukar pada 110,000 km dan tidak termasuk dalam tempoh perbandingan ini. Proton turut menyenaraikan komponen lain yang perlu ditukar dalam tempoh 100,000 km ini seperti penuras bahan api dan juga komponen-komponen berkenaan pengecas turbo.

Bagi sistem stereng berkuasa, kedua-dua MPV ini menggunakan sistem hidraulik – bendalir untuk sistem ini pada Exora perlu ditukar setiap 40,000 km, manakala Alza pula hanya tersenarai pada jadual Pro Care pada 100,000 km. Manakala kos untuk menukar minyak kotak gear, Exora yang menggunakan CVTF adalah lebih tinggi dari Alza yang menggunakan ATF.

22.jpg

Jumlah keseluruhan kos servis antara Proton Exora RC 1.6L CVT 2019 dan Perodua Alza 1.5L AT; klik untuk besarkan

Setelah disenaraikan semua servis dari 1,000 km hingga 100,000 km, kos penyelenggaraan Proton Exora dilihat sekitar RM200 lebih rendah dari Perodua Alza. Walau bagaimanapun kos ini adalah dikira berdasarkan promosi Proton yang menawarkan 11 kali/lima tahun kos buruh percuma untuk pelanggan yang membeli Exora RC ini sebelum 31 Disember 2019. Sekiranya tanpa promosi berkenaan, kos untuk menyelenggara Exora tentu sahaja lebih tinggi dari Alza.

Perlu diingatkan, segala komponen yang disenaraikan ini adalah dari kategori penyelengaraan pencegahan (preventative maintenance) dan tidak termasuk alat-alat ganti wear & tear seperti pad brek, bateri, tayar dan sebagainya yang perlu ditukar tidak berdasarkan kilometer, tetapi hanya perlu ditukar setelah ia tidak lagi boleh digunakan.

Tentu ada yang tertanya-tanya, kereta apa pula Model Y yang dinyatakan di atas tadi? Setelah kami periksa, ia adalah Toyota Avanza, yang di dakwa Proton sebagai memerlukan kos penyelengaraan lebih tinggi berbanding Exora dalam tempoh 5 tahun/100,000 km. Kami hanya membuat perbandingan antara Exora dan Alza kerana kedua-duanya adalah dari jenama nasional.

Sekali lagi diingatkan bahawa kesemua perincian yang kami tulis ini adalah berdasarkan jadual yang dinyatakan setiap pengeluar ketika artikel ini ditulis, dan ia mungkin berbeza dengan harga sebenar.

Selain dari Exora vs Alza ini, kami turut telah membandingkan kos servis untuk Proton X70 vs Honda CR-V, Perodua Aruz vs Honda BR-V, dan juga Proton Persona 2019 vs Perodua Bezza.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: