Percutian bajet ke Pulau Santorini

Aktiviti menyaksikan keindahan matahari terbenam dan terbit pada waktu pagi adalah sebahagian daripada perkara yang perlu dilakukan jika anda bercuti ke Pulau Santorini.
Keindahan mempesona menyaksikan keindahan sedemikian pastinya meninggalkan kenangan yang tidak boleh dilupakan. Tidak hairanlah Pulau Santorini seindah namanya itu menjadi lokasi pilihan destinasi pasangan berbulan madu.
Pastinya ramai menyangka tempat ini sebagai destinasi percutian mewah dan memerlukan kos yang tinggi. Bagaimanapun dengan hanya bajet sederhana anda boleh ke sana. Lakukan penyelidikan dengan membaca blog pengunjung terdahulu, perbelanjaan tidak membebankan.
Selepas meneroka negara Balkan, penulis meneruskan perjalanan ke Pulau Santorini dari Athens, Greece menggunakan kapal terbang, kira-kira 45 minit perjalanan dengan tiket penerbangan murah menerusi aplikasi Skyscanner.
Selain kapal terbang, boleh juga menaiki feri dari pelabuhan Piraeus yang mengambil masa kira-kira lima hingga lapan jam. Feri akan berhenti di beberapa pulau lain di Greece sebelum tiba ke Santorini.
Rakam matahari terbenam

- Advertisement -

Sampai ke sini, perjalanan diteruskan ke bandar Fira seterusnya menukar bas ke bandar Oia sebelum mengambil keputusan bermalam di dua tempat berbeza iaitu di Oia dan Fira. Jarak antara Oia dengan Fira sekitar 11 kilometer.
Bandar Oia lebih tenang, menjadi tumpuan bergambar dengan bangunan, rumah berwarna putih dan biru. Lokasi ini juga menjadi tumpuan merakam suasana matahari terbenam dan terbit di Laut Aegean.
Bandar Fira juga lebih meriah dengan aktiviti di pusat komersial berhampiran Lapangan Terbang Santorini iaitu hanya kira-kira 10 minit perjalanan menaiki pengangkutan awam.
Di Santorini kurang restoran makanan halal, kami makan makanan berasaskan sayur-sayuran dan makanan laut sahaja. Kadar makanan di sini boleh tahan harganya dengan kadar RM75 seorang.
Bilik berbentuk gua

Di Oia, kami menginap di VIP Suite yang ditempah menerusi laman sesawang Booking.com. Bilik berbentuk gua dan mengadap laut ini sangat sesuai bagi pelancong yang inginkan suasana romantik pada harga berpatutan. Peluang merakam matahari terbenam di Pulau Santorini begitu mengasyikkan.
Lokasi terbaik mengabadikan kenangan indah adalah berhampiran kincir angin di hujung Oia Village (perkampungan).
Di kawasan ini juga terdapat restoran dan kafe khas untuk tetamu menyaksikan matahari terbenam.
Bangun seawal jam 5 menikmati pemandangan dan merakam gambar matahari terbit di hadapan bilik. Kenangan lebih menarik, kami berjalan-jalan menikmati keindahan Oia dengan mengenakan baju kurung.
Dari Oia, kami bertolak ke Fira dan bercadang ke pantai pasir hitam di Perissa, bagaimanapun tidak kesampaian kerana tempat itu ditutup kerana sudah masuk musim sejuk.
Mengikut cadangan penduduk tempatan perjalanan diteruskan ke pantai pasir merah di Akrotiri dengan jarak perjalanan satu kilometer.
INFO:
Perbelanjaan:
* Tiket kapal terbang tanpa beg daftar masuk:
– Athens-Santorini > Ryanair > RM87/seorang
– Santorini-Athens > Volotea > RM98/seorang
* Perkhidmatan bas ulang-alik dari Lapangan Terbang Santorini ke Oia > STG7.5/seorang > RM37.50
* Santorini Resort VIP Suite (bilik tiga orang) > RM450/satu malam bahagi tiga orang > RM150/seorang
* Bas Oia ke Fira > STG1.80 > RM9/seorang
* Bas Fira ke Akrotiri (Pantai Pasir Merah) dan balik ke Fira > STG2x2 > STG4/seorang > RM20
* Hotel Golden Star (bilik tiga orang) > STG14/seorang > RM70
* Bas dari bandar Fira ke Lapangan Terbang Santorini > STG1.80 > RM9
* Makan di luar > RM150 anggaran kasar
* Jumlah perbelanjaan kasar untuk percutian tiga hari dua malam di Pulau Santorini dari Athens, Greece (RM630.50).
Panduan perjalanan
* November hingga Mac adalah ‘low season’ di Santorini Island, Greece
* Tiket kapal terbang dibeli tiga hingga lima bulan sebelum perjalanan
* Jadual bas awam ada disediakan di pusat informasi pelancong dan stesen bas
* Tukaran matawang STG1 > RM5
* Dari Malaysia boleh ambil penerbangan transit ke Istanbul dan ambil penerbangan ke Athens atau boleh naik penerbangan terus ke Athens, Greece dari Singapura
