‘Rasa nak sarung jersi Reds semula’

25

LONDON: Legenda Liverpool, Steven Gerrard mengakui ‘iri hati’ dengan skuad Reds ketika ini kerana mereka bermain di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Gerrard yang kini melatih kelab Scotland, Rangers turut mendedahkan dia berpeluang untuk bertukar pendapat dengan pengendali dari Jerman itu beberapa kali sebelum ini dan ia sentiasa melonjakkan semangatnya.

Dalam satu temu ramah yang diterbitkan di United Kingdom menjelang aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad ini membabitkan bekas kelabnya dengan Tottenham, Gerrard berkata setiap kali dia bercakap dengan Klopp, ia membuatkannya ingin kembali menyarung jersi Reds.

“Sudah banyak kali saya berpeluang berbual dengannya. Beliau terbuka, menjemput saya ke pejabatnya. Saya merasa amat bertuah kerana mendapat jemputan itu,” kata bekas kapten Liverpool itu.

“Dan apa yang saya dapat ialah, imaginasi bermain untuknya. Saya tidak begitu bertuah untuk berpeluang bermain dengan Jurgen Klopp. Mungkin terlalu tua. Mungkin tidak akan tersenarai tetapi hanya iri hati kepada hampir keseluruhan skuad Liverpool.

“Selepas saya keluar daripada pejabatnya dan duduk, keluar ke padang latihan, saya sebenarnya mahu kembali menyarung jersi dan bermain bersama mereka. Beliau memberi inspirasi kepada kamu.”

Gerrard berkata, Klopp memiliki kualiti yang istimewa iaitu kekuatan karakter luar biasa yang membuatkan orang di sekelilingnya dan pemain-pemain merasa rapat dengannya.

“Kekuatan utamanya ialah personalitinya. Beliau membuatkan kami merasa istimewa dan dihargai. Itulah sebab mengapa pemain-pemain mahu melakukannya.

“Pemain menyedari yang mereka bermain untuk pengurus yang istimewa. Beliau melindungi pemain-pemainnya, saya fikir beliau memikul banyak tekanan.

“Di Liverpool ketika ini, Jurgen adalah tonggak utama. Jadi pemain tahu bagaimana untuk meraih kejayaan,memiliki peluang terbaik untuk berjaya dan mereka perlu mengikuti pengurus. Dan saya fikir beliau menunjukkan rasa hormat dan saya yang sama kepada mereka.” – AGENSI

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: