KUALA LUMPUR: Facebook komited untuk memperkasakan sambungan jalur lebar di negara ini dengan meneruskan program perintis berskala besar, Terragraph di Cyberjaya tahun ini.

Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan, berkata program perintis yang bermula di Georgetown itu menunjukkan kejayaan dan maklum balas positif daripada pengguna individu serta perniagaan.

Justeru, beliau berkata Facebook akan berkerjasama dengan syarikat tempatan yang terbabit dalam sektor telekomunikasi untuk menjalankan program itu di Cyberjaya.

“Kami akan bekerjasama dengan syarikat yang terbabit dalam industri telekomunikasi tempatan dan ia akan bermula tahun ini.

“Selepas kejayaan di Georgetown dan bakal bermula di Cyberjaya, Facebook tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan program Terragraph di seluruh negara,” katanya selepas pelancaran pejabat Facebook di Malaysia dekat sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al-Ishsal Ishak dan Naib Presiden Facebook Asia Pasifik, Dan Neary.

Terragraph adalah program perintis berskala besar pertama di Asia.

Ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk melabur dan memajukan infrastruktur digital negara, bagi memastikan akses jalur lebar kepada seluruh masyarakat Malaysia.

Terragraph memberikan sambungan jalur lebar yang boleh dipercayai, harga berpatutan dan berkelajuan tinggi untuk bandar raya itu.

Tan berkata, rangkaian Terragraph di Georgetown terdiri daripada 400 nod dan menghubungkan lebih 100 pelanggan perniagaan dengan broadband berkelajuan fiber.

Rangkaian itu juga katanya, memiliki 50 lokasi wifi awam dan memberikan manfaat kepada lebih 10,000 pengguna.

“Lantaran itu, jika Malaysia dapat berubah kepada teknologi 5G, ia akan lebih membantu meningkatkan sambungan di negara ini.

“Ini kerana, rangkaian Terragraph ini adalah sebahagian daripada teknologi 5G. Kami teruja dengan usaha membawa sambungan internet kepada lebih ramai orang yang tidak mempunyai kemudahan ini atau tidak mempunyai akses laju atau boleh dipercayai,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.