08

KUALA LUMPUR: Sebagai satu daripada pengeluar minyak sawit utama dunia, Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam memastikan komoditi itu kekal sebagai pengganti bahan api yang lestari dan mesra alam bagi pasaran dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata minyak sawit merupakan pilihan berdaya maju untuk mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil, kerana ia memiliki potensi amat besar sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Sebagai pengeksport terbesar dan pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, kita berada di kedudukan untuk memastikan komoditi ini berkembang menjadi industri yang membawa banyak manfaat kepada pasaran global, terutamanya, ekosistem tenaga dan pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Biofuel baru-baru ini mendapat perhatian utama sebagai pengganti berdaya maju bagi bahan api fosil.

Selain daripada potensinya sebagai pengganti utama bahan api fosil, biofeul diperoleh daripada tanaman yang ditanam, yang membolehkan pengeluarannya dirancang, dituai dan diperbaharui secara lestari berbanding bahan api fosil yang mengambil masa berjuta-juta tahun untuk membentuk dan kini semakin berkurangan.

Selain itu, biofuel mempunyai sifat neutral karbon, kerana sumber bahan api ditanam menyerap karbon dioksida semasa ia tumbuh membesar, yang mana semasa proses itu dapat mengimbangi jejak karbon.

Darell menjelaskan walaupun terdapat bantahan terhadap amalan semasa penanaman sawit kebelakangan ini, terdapat permintaan dan potensi bagi sektor itu untuk muncul sebagai pemain utama dalam memenuhi keperluan sektor tenaga dan pengangkutan.

“Malaysia memiliki prasarana dan saiz pasaran yang perlu bagi menambah baik kualiti dan pengeluaran produk tenaga berasaskan sawit,” katanya.

Beliau juga berkata, selain daripada sokongan padu industri terhadap biodiesel, agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia dan SIRIM Bhd mempunyai keupayaan teknologi untuk mengangkat minyak sawit menjadi pesaing utama kepada tenaga boleh diperbaharui global.

Malaysia memperkenalkan B10 biodiesel kepada pasaran pengangkutan domestik pada Disember 2018, meningkatkan adunannya daripada tujuh peratus (B7 Biodiesel) kepada 10 peratus.

Sementara itu, Dasar Automotif Negara (NAP), yang sedang dalam kajian semula ketika ini, dijangka meneruskan pembangunan biodiesel sebagai agenda penting kepada pelan kecekapan tenaga pengangkutan negara, untuk menyediakan peratusan tinggi adunan biodiesel bagi tempoh beberapa dekad akan datang.

Kerajaan, menerusi MITI dan Kementerian Industri Utama menyasar memperkenalkan B20 biodiesel pada 2020.

Pada masa yang sama, Kementerian Industri Utama juga bekerjasama dengan MITI untuk memasukkan spesifikasi “B20/B30-sedia” bagi kenderaan dalam kajian semula NAP. – BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.