08

KUALA LUMPUR: Konflik sekatan teknologi yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat gergasi Huawei bukan saja memberi kesan kepada firma telekomunikasi itu, malah ia turut memberi kesan buruk kepada keseluruhan sektor teknologi global.

Penyelidik Hong Leong Investment Bank (HLIB) Tan J Young berkata, meskipun konflik yang berlaku itu menggangu rantaian bekalan Huawei namun ia dilihat menjejaskan keseluruhan industri berkaitan.

Beliau berkata, tindakan AS juga akan menyebabkan syarikat dari AS itu turut terkesan kerana semakin banyak syarikat mula beralih dan bergantung kepada pasaran China untuk pertumbuhan dan keuntungan.

“Kami melihat tindakan dilakukan pentadbiran Trump ini sebagai langkah negatif kerana ia tidak membawa kepada situasi lebih baik sebaliknya memberikan kerugian kepada kedua-dua pihak.

“Impaknya menjadi lebih teruk disebabkan Huawei mempunyai kehadiran dalam kedua-dua pasaran infrastruktur dan telefon pintar dunia.

“Dalam hal ini, Samsung mungkin dilihat bakal mengungguli namun tidak mungkin ia merangsang pembekal di luar Korea Selatan,” katanya.

Katanya, meskipun perkara terjadi itu seperti situasi sama berlaku dengan pesaingnya, ZTE pada 2017, konflik yang terjadi ketika ini dijangka mendatangkan lebih banyak kesan berikutan kedudukan Huawei sebagai peneraju global.

“Huawei adalah vendor infrastruktur syarikat telekomunikasi terbesar dunia dan berada pada kedudukan kedua bagi pembekal telefon pintar dengan 19 peratus penguasaan pasaran pada suku pertama 2019, menurut IDC,” katanya.

Huawei disenarai hitam oleh AS dan menguatkuasakan peraturan yang meletakkan Huawei dan 68 sekutunya di lebih 12 negara dalam Senarai Entiti, langkah yang menghalang syarikat itu membeli komponen daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan terlebih dulu.

Tindakan itu terjadi apabila kedua-dua ekonomi terbesar di dunia itu terbabit dalam perang tarif yang disifatkan pegawai AS sebagai amalan perdagangan tidak adil China.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.