Teknologi untuk runtuhkan masyarakat

PERISIAN dan rangkaian internet adalah antara disiplin terpenting dalam kejuruteraan. Ia menjadi platform utama bagi penyediaan kemudahan maklumat dan komunikasi dengan rangkaian pelbagai peranti menggunakan protokol komunikasi secara standard dan terbuka pada peringkat global.

Pemindahan data maklumat pada rangkaian internet meningkat 20 kali ganda pada tahun ini berbanding tahun lepas. Bernard Marr, pakar teknologi cloud mendedahkan jumlah data yang dihasilkan setiap hari mencabar minda dan kreativiti. Marr menyebut 156 juta e-mel dihantar sehari di seluruh dunia ketika ini. Ia dijangka meningkat kepada 2.9 bilion pengguna e-mel pada akhir 2019.

Ini menghasilkan jumlah byte data sebanyak 2.5 quantilion byte (sepuluh kuasa 18) sehari demi memperkasakan Internet Perkara (IoT). Perkembangan ini mencabar kemampuan pakar IT untuk meningkatkan kemampuan ‘sistem keselamatan’ bagi membendung gejala ‘penyangak siber’ yang sentiasa mencari jalan menggodam maklumat rahsia negara di seluruh dunia.

Terkini, sindiket ‘tonto’ terbukti mengancam keselamatan negara rentetan strategi mereka memasang peranti pengesan secara internet online bagi mengesan dan mengawasi pergerakan kenderaan anggota pegawai penguatkuasa Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (MBSA) yang ditempatkan di sempadan negara menggunakan peranti teknologi Sistem Kedudukan Global (GPS) tercanggih.

Kebimbangan ini ada asasnya kerana laporan Limelight State Cybersecurity mendedahkan hanya 21 peratus pengguna di Asia Tenggara yakin teknologi keselamatan siber ketika ini mampu melindungi perniagaan mereka daripada penyangak siber.

Penulis mendapati pada 2017, satu operasi antijenayah siber diketuai Interpol dan penyiasat tujuh negara Asia Tenggara mendedahkan hampir 9,000 pelayan malware-sarat dan beratus-ratus laman web telah dikompromi di rantau Asean.

Pelbagai jenis perisian malware iaitu perisian bertujuan untuk menggodam atau melumpuhkan sistem komputer dan peranti, menyasarkan ancaman terhadap beberapa organisasi seperti institusi kewangan. Kewujudan ransomware, Distributed Denial of Service (DdoS) dan pengedaran spam adalah antara gejala yang menjangkiti server.

Asia Tenggara segera mengambil langkah serius dengan melihat lebih dekat apakah trend pengguna di rantau ini terhadap keselamatan siber ketika berurusniaga dalam talian.

08

Penyangak siber adalah sebahagian daripada penyakit masyarakat moden sekarang dan akan datang. Perbuatan mengintai dan melanggar hak peribadi seseorang disebut oleh ALLAH SWT dalam Surah An-Nur [24:27] bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi mu, agar kamu (selalu) ingat.”

Kebiasaannya, orang yang suka mengintai melalui sistem teknologi maklumat ini sentiasa mencari kesalahan dan menyebarkan maklumat bertujuan mengaibkan orang.

Mengumpat ini diibaratkan sebagai memakan daging orang yang diumpat telah mati sebagaimana ALLAH jelaskan dalam Surah Al-Hujuraat [49:12] bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.

Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Islam tidak melarang manusia mengejar kemajuan, malah agama Islam amat menggalakkan orang Islam berusaha membangunkan pelbagai teknologi kejuruteraan perisian dan internet. Namun, ada yang sentiasa mencari jalan dengan membangunkan pelbagai teknologi songsang yang juga memerlukan kreativiti tinggi untuk merosakkan masyarakat.

Penulis berpendapat pembangunan sistem penggodam tidak boleh dikategorikan sebagai teknologi. Istilah teknologi sebenar bermaksud penerapan pengetahuan saintifik untuk membangunkan sesuatu praktikal terutama dalam industri dimanfaatkan demi kepentingan manusia dan alam semesta, bukannya memporak-perandakan masyarakat.

Kepesatan teknologi yang digunakan oleh tonto akan meruntuhkan sistem keselamatan siber sekali gus menghancurkan masyarakat.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: