Kembara ke bumi Uncle Sam yang menakjubkan

- Advertisement -
BARISAN rumah Victoria berdekatan Alomo Square, San Francisco dikenali sebagai ‘Painted Ladies’ antara lokasi yang selalu dikunjungi pelancong apabila berkunjung ke San Francisco.
SETIAP tahun ramai pasti cuba meluangkan masa bercuti bersama keluarga dengan memilih destinasi-destinasi menarik untuk dikunjungi tidak kira di dalam mahupun luar negara.
Itulah juga yang diamalkan Khairudin Abd. Khalid, 58, sejak dahulu lagi. Malah, ketika itu jika bercuti ke luar negara bersama keluarga, dia lebih selesa memandu sendiri meneroka keindahan negara orang.
“Kini, setelah anak-anak bekerja dan berkahwin, ada ketikanya saya melancong berdua sahaja dengan isteri.
“Jika berdua, saya lebih suka melancong secara berkumpulan menggunakan agensi pelancongan kerana lebih mudah dan dapat juga menambah kenalan,” katanya yang telah menjelajah pantai barat Amerika Syarikat (AS) Disember tahun lalu.
Menurut Khairudin, Amerika Syarikat menjadi pilihannya kerana itulah antara destinasi yang belum pernah dilawati. AS adalah sebuah negara yang besar untuk diterokai dan mempunyai kepelbagaian destinasi pelancongan yang menarik.
Memilih ke pantai barat AS iaitu Los Angeles, Las Vegas dan San Francisco sebagai destinasi permulaan untuk meneroka AS kerana perjalanannya lebih dekat. Malah, destinasi tersebut juga menjadi pilihan kebanyakan masyarakat Malaysia kerana kosnya lebih murah berbanding ke negeri-negeri di pantai timur AS.
Bercerita tentang kembaranya ke negara itu, Khairudin memberitahu, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Los Angeles secara keseluruhannya memakan masa lebih 20 jam.
“Kami berlepas menuju Hong Kong dengan perjalanan selama hampir empat jam dan transit di situ selama tiga jam sebelum meneruskan penerbangan ke Los Angeles yang mengambil masa sekitar 14 jam,” katanya.
Sebaik sahaja tiba di Los Angeles, rombongan yang terdiri daripada 16 orang itu hanya melakukan aktiviti bebas dan berehat secukupnya sebelum memulakan kembara di AS pada esoknya dengan program-program lawatan yang menyeronokkan, disusun oleh selamatbercuti.com mengikut keunikan dan tarikan destinasi yang wajib dikunjungi selain kehendak ahli rombongan.
“Pemilihan selamatbercuti.com kerana saya dan isteri berpuas hati dengan khidmatnya ketika melancong ke rantau Balkan dan kebetulan agensi ini telah berjaya menghimpunkan kumpulan untuk melancong ke AS.
“Sebenarnya mencukupkan kuota satu kumpulan ke AS sememangnya payah kerana perbelanjaannya agak tinggi, tambahan pula jika kita inginkan pakej muslim
“Namun segalanya berjaya direalisasikan oleh agensi tersebut,” katanya.
Bercerita tentang makanan, tidak dinafikan sesetengah tempat di AS agak sukar mencari makanan halal kerana komuniti Islamnya tidak ramai. Umpamanya ketika melawat Grand Canyon sememangnya tidak disediakan makanan halal. Bagi mengisi perut, mereka menikmati hidangan salad.
Glamor Hollywood
Memulakan lawatan di tarikan-tarikan utama sekitar Hollywood seperti Hollywood Boulevard yang menempatkan monumen bintang-bintang terkenal yang mencapai pencapaian cemerlang dalam industri hiburan sama ada pelakon, penyanyi, pengarah, penerbit dan lain-lain lagi.
Sehingga kini, terdapat 2,600 bintang Hollywood di sepanjang Walk of Fame termasuklah antaranya Michael Jackson, Mickey Mouse, Marilyn Monroe, Clint Eastwood, Jackie Chan dan ramai lagi. Turut dilawati adalah Kodak Dolby Theatre yang merupakan auditorium tempat berlangsungnya Anugerah Academy Awards, American Idol dan America’s Got Talent.
Tarikan lain yang dikunjungi adalah TCL (Grauman’s) Chinese Theatre iaitu panggung wayang yang sering menjadi lokasi tayangan perdana filem baharu Hollywood seperti Star Wars malah tarikan utama di lamannya ialah bentuk tangan dan kaki artis terkenal Hollywood. Tidak ketinggalan juga melawat Hollywood & Highland Center untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan papan tanda Hollywood yang terkenal di atas Mount Lee.
Seterusnya lawatan panorama melepasi jalan Rodeo Drive yang dianggap sebagai lokasi membeli-belah tercantik dan termahal di Hollywood dan melihat-lihat kawasan perumahan Beverly Hills yang menjadi lokasi kediaman bintang-bintang seperti George Clooney, Madonna, Diana Ross, Jennifer Aniston dan ramai lagi.
Dalam pada itu. rombongan dibawa bersolat di Islamic Center of Southern California yang merupakan antara masjid terbesar di Amerika Syarikat. Masjid ini dibina pada tahun 1952 dan sering menganjurkan program-program kepada masyarakat setempat.
Dari Las Vegas, kami bergerak ke Grand Canyon yang merupakan tarikan utama pelancong di Arizona. Melihat sendiri Grand Canyon di depan mata, anda pasti terpegun dengan salah satu keajaiban alam di dunia ini. Ia juga adalah salah satu tempat tertua di bumi.
Grand Canyon ialah sebuah gaung yang curam dan berwarna-warni yang diukir oleh Sungai Colorado di Arizona, AS. Sebahagian besarnya terangkum dalam Taman Negara Grand Canyon — salah satu taman negara yang awal di negara itu.
Kami juga dibawa ke Eagle Point Skywalk Bridge untuk menikmati pemandangan keunikan Grand Canyon dari ketinggian 4,000 kaki di sini yang cukup mengujakan.
Lazimnya, pengunjung ke Grand Canyon boleh menikmati keindahan alam semula jadi dari beberapa arah, iaitu, utara, selatan atau barat. Bagi kami, kawasan terdekat dari Las Vegas ialah di bahagian barat, atau dikenali dengan Grand Canyon West Rim. Kawasan ini terletak di dalam penempatan bagi suku kaum Red Indian daripada suku Hualapai. Ia terletak dalam kawasan pemuliharaan iaitu Hualapai Indian Reservation..
Pengunjung boleh mengenali dengan lebih dekat budaya etnik Red Indian Hualapai, Navajo dan Hopi di Native American Village yang menempatkan rumah tradisi mereka yang berbentuk segi tiga.
Di sini juga terdapat Hualapai Market bagi pelancong yang ingin membeli cenderamata berbentuk kraftangan buatan etnik Red Indian. Menariknya, pengunjung boleh membeli lawatan tambahan mengelilingi Grand Canyon dengan menaiki helicopter, yang tentunya memberi satu pengalaman berbeza.
Tidakpun, anda boleh memilih untuk menikmati keindahan Grand Canyon dari atas jambatan kaca iaitu Eagle Point Skywalk Bridge dengan ketinggian sekitar 1,220 meter. Memang agak menggerunkan, tetapi ia memberi pengalaman melihat secara langsung ke dasar Grand Canyon.
Yosemite National Park
Dari Las Vegas, kami menuju ke Barstow yang mana terletaknya Outlet at Barstow iaitu lokasi yang menjadi idaman wanita kerana di sinilah tempat membeli-belah barangan jenama antarabangsa seperti Coach, Polo Ralph Lauren, Michael Kors dan banyak lagi.
Selesai membeli-belah, sambung pula perjalanan menuju ke Fresno dan bermalam di situ. Esoknya, kami bergerak ke salah satu taman negara yang paling cantik dan terkenal di AS iaitu Yosemite Nasional Park.
Kami dibawa menyelusuri taman itu dengan menaiki trem sambil ditemani oleh Park Ranger untuk melihat keindahan air terjun Yosemite. Ia adalah salah satu air terjun tertinggi di Amerika Utara iaitu keseluruhannya setinggi 739 meter.
Di taman ini juga terdapatnya Half Dome Granite iaitu sebuah kubah granit yang unik dan mengagumkan selain El Capitan – kumpulan batu granit yang berdiri secara vertikal, Tunnel View dan Bridalveill Fall.
San Francisco
Memasuki bandar raya San Francisco, kami di bawa melawat beberapa tarikan utamanya seperti Nob Hill yang terkenal sebagai lokasi terbaik untuk mengambil foto ikon San Francisco, Golden Gate Bridge, Twin Peaks yang menawarkan pemandangan panorama indah seluruh kota tersebut.
Kami juga berpeluang menziarahi dan bersolat di Masjid Darussalam yang terletak di tengah kota, juga berfungsi sebagai pusat komuniti Islam di San Francisco.
Kemudiannya bergambar kenangan di Palace of Fine Arts dan bersiar-siar di lokasi paling terkenal untuk pelancong iaitu Fisherman’s Wharf yang menempatkan antaranya Madame Tussaud, Ghirardelli Square, kapal selam USS Pampanito dan Maritime National Historic Park.