Kuasai bidang teknologi digital atau ketinggalan 30 tahun – Anwar

- Advertisement -
Ahli Parlimen Port Dickson merangkap bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama Digital Navative Agenda pada Konvesyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. – Foto Rosela Ismail
BANGI: Keperluan untuk anak muda dibekalkan dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan teknologi digital amat mendesak bagi mengelakkan Malaysia ketinggalan berbanding negara lain.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata siswazah yang dilengkapi dengan ilmu dalam bidang teknologi digital berpeluang untuk meneroka dan mewujudkan pekerjaan baharu, sekali gus mengatasi pengangguran dalam kalangan belia.
“Kepesatan perubahan ketika ini begitu cepat. Kalau kita ketinggalan dua, tiga tahun, ia ibarat kita ketinggalan 20 tahun hingga 30 tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden PKR itu berkata, sebarang usaha menguasai bidang berkenaan tidak boleh mengabaikan aspek nilai, moral dan kemanusiaan supaya belia yang dilengkapkan dengan kemahiran teknologi digital, akan menggunakannya untuk kebaikan sejagat.
“Persiapan anak muda dalam bidang digital sangat mendesak, namun ia bukan saja perlu dipelajari pelajar pengkhususan bidang berkaitan, tapi anak muda yang belajar Sastera, Sejarah dan Syariah tidak boleh terkecuali.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, peluang kerja lebih rumit dan kadar upah relatif lebih rendah, adalah baik jika anak muda dapat menggunakan pengetahuan mengenai teknologi digital bagi menambah peluang pekerjaan.
“Sikap taksub terhadap pengkhususan sesuatu bidang semata-mata bakal membelakangkan aspek moral, nilai dan kemanusiaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, apa juga perencanaan dalam bidang teknologi digital, khususnya oleh kerajaan, tidak boleh menyebabkan wujud kalangan masyarakat miskin yang berasa tersisih atau terpinggir.
“Saya amat pantang dan kesal pada inisiatif yang meminggirkan sebahagian masyarakat, yang tidak beri kesan pada apa yang berlaku di kampung, nelayan atau pekebun kecil getah di Padang Terap.
“Kita bincang teknologi digital, tapi hanya bersama mereka yang sudah berpendapatan tinggi atau kelas menengah atas yang lebih terdedah dengan perkara ini, tapi orang kampung di Manek Urai atau Kapit tiada peluang ini.
“Akibatnya, kesenjangan terus melebar, ketidaksamaan terus berkembang yang mana kini menjadi masalah utama di Malaysia,” katanya.