22

Baru-baru ini, kami telah menyiarkan berita berkenaan Proton Saga facelift yang kelihatan sedang diuji di jalan raya awam. Kini, Proton telah membuka mulut dengan mengesahkan model tersebut akan diperkenalkan pada masa hadapan. Malah, bukan hanya Saga, MPV tujuh tempat duduk Proton Exora juga bakal disegarkan kembali, seperti yang kami jangka sebelum ini.

Menerusi gambar spyshot sebelum ini, Saga nampaknya akan diberikan gril signatur terkini Proton iaitu infinite weave seperti SUV Proton X70 serta pasangan Persona dan Iriz facelift. Bampar hadapan dan belakang yang dibalut dengan pelekat penyamaran juga menandakan ia turut akan menampilkan rekaan baharu.

Dari segi mekanikal, enjin 1.3 liter VVT mungkin masih lagi dikekalkan, tetapi boleh dijangka ia akan menerima kemaskini pada sistem lain. Bulan lalu, Proton telah berjaya menjual sejumlah 3,000 unit Saga, menandakan model ini masih lagi sangat penting bagi jenama tersebut. Jadi dengan pengenalan model kemaskini ini kelak, ia mungkin akan menguatkan lagi prestasi jualan Proton.

Bagi Exora pula, ia juga dijangka menerima perubahan dari segi rupa. Exora sudahpun berada hampir sepuluh tahun dalam pasaran. Pada 2017, model kemaskini MPV tujuh-tempat duduk ini telah diperkenalkan, namun ia hanya menerima perubahan dari segi elemen warna.

Ini bukan imej sebenar Proton Exora facelift, tetapi hanya gambaran yang dibuat oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin

Untuk model facelift baharu ini, dapat dijangka ia akan menerima perubahan seperti apa yang diterima oleh Persona dan Iriz, serta penambahbaikkan dari segi NVH seperti pada Proton Preve tahun lalu.

Sistem infotainment dengan pemain utama berdasarkan Global Key User Interface (GKUI) seperti pada Proton X70 juga boleh dijangka akan dipadankan pada Exora facelift ini. Pada Iriz dan Persona, sistem yang sama boleh beroperasi dengan arahan suara ‘Hi, Proton’, bersama hubungan internet 4G yang membolehkan streaming muzik dilakukan serta informasi trafik yang dapat diberikan secara live.

Walaupun Proton telah disahkan akan membina MPV tujuh tempat duduk serba baharu berdasarkan Geely Jiaji, Exora facelift ini masih perlu bertahan dalam barisan produk mereka kerana model baharu berkenaan hanya akan muncul pada lewat 2020 atau 2021 bagi memberikan laluan kepada SUV segmen-B berasaskan Geely Binyue yang telah pun kelihatan sedang diuji.

Kemudian, berdasarkan saiz, MPV baharu berkenaan mungkin akan dijual pada harga melebihi RM100k, dan Proton masih memerlukan model MPV tujuh-tempat duduk bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan bajet bawah RM100k.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.