46

LONDON: Penyerang Manchester City, Raheem Sterling berkata lebih ramai pemain perlu ‘bersuara’ apabila mereka berdepan dengan insiden perkauman jika mahu isu berkenaan dihapuskan dalam bola sepak.

Begitupun, pemain kebangsaan England itu tidak bersetuju dengan cadangan keluar meninggalkan padang sebagai tindak balas terhadap serangan jelik berkenaan.

Sterling memperoleh sokongan ramai pihak susulan tindakannya mempertahankan diri selepas dia dan rakan sepasukannya menjadi subjek kepada serangan perkauman ketika perlawanan kelayakan Euro 2020 di Montenegro.

Awal musim ini, dia turut menuduh media Britain sebagai mengeruhkan lagi masalah itu dengan menerbitkan laporan berkaitan sisi negatif pemain muda berkulit hitam.

“Saya tidak fikir yang saya cuba untuk melakukan perubahan, atau membuat perubahan. Apa yang saya lakukan ialah meningkatkan kesedaran,” kata Sterling.

“Ia adalah mengenai menyuarakan apa yang kami pernah alami dan sesetengah orang mungkin menyembunyikannya. Jika lebih ramai pemain bersuara, lebih baik ia akan jadi.”

Ketika ditanya adakah dia menyokong tindakan keluar meninggalkan padang sebagai tindak balas seperti yang disuarakan segelintir pengurus di Liga Perdana baru-baru ini, Sterling berkata kekal dan memenangi perlawanan adalah lebih baik.

“Saya secara peribadi tidak bersetuju dengannya kerana saya fikir untuk keluar dan memenangi perlawanan lebih menyakitkan mereka. Menjaringkan gol atau menang perlawanan, perasaannya lebih hebat, ia menewaskan mereka.”

Beberapa insiden membabitkan perkauman dilaporkan dalam saingan Liga Kejuaraan minggu lalu dengan penyerang Watford, Troy Deeney berkata dia terpaksa mengeluarkan komen berunsur perkauman daripada laman Instagram miliknya. – AFP

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.