08

Ketua Pegawai Sektor Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Gerard Lim menyampaikan penerangan mengenai kesediaan Malaysia untuk mempamerkan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) semasa sesi bersama media di Menara SKMM hari ini. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjangkakan teknologi komunikasi generasi kelima (5G) berpotensi sedia digunakan secara komersial di negara ini menjelang 2021 atau 2022.

Ketua Pegawai Digital SKMM, Gerard Lim, berkata sasaran itu adalah berdasarkan perspektif rangkaian yang perlu dinaik taraf bagi menyokong 5G dan kesediaan komersial untuk pengguna.

Katanya, walaupun sasaran itu masih jauh, Malaysia perlu melakukan banyak persediaan awal termasuk melaksanakan ujian di Putrajaya dan Cyberjaya, selain mempelawa rakan teknologi untuk memahami potensinya.

“SKMM juga melihat kepada kesediaan menara pemancar 4G untuk dipertingkat kepada 5G, yang mana secara purata hanya kira-kira 40 peratus menara telekomunikasi di negara ini memiliki sambungan sambungan gentian optik.

“Sedangkan dengan adanya sambungan gentian optik pengalaman menggunakan rangkaian 4G boleh dipertingkatkan, ini belum termasuk lagi jika kita beralih kepada 5G.

“Walaupun 5G masih belum disediakan secara komersial untuk tempoh beberapa tahun lagi, namun kami mengadakan pameran bagi memperkenalkan teknologi itu kepada rakyat gambaran sebenar aplikasi manfaat 5G kepada kehidupan harian,” katanya pada majlis promosi Pameran 5G Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak.

Pameran 5G Malaysia yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan di Putrajaya selama empat hari bermula 18 April ini.

Sebanyak 11 pempamer yang terdiri daripada gergasi teknologi dunia akan turut sama menyertai pameran terbabit dengan mengetengahkan lapan komponen manfaat teknologi rangkaian 5G.

Menerusi pameran itu, orang ramai boleh melihat lebih dekat kemampuan teknologi 5G mengubah kehidupan moden dengan menjadikan kelajuan data lebih pantas, lebih besar dan mampan.

Antara tarikan utama adalah aplikasi 5G dalam kereta pandu sendiri, yang mana pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman menaiki kereta tanpa pemandu yang dipasang pada model PROTON dan dikawal sepenuhnya dengan jaringan saling-hubung antara komputer.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.