150

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer membalas kritikan bekas pengurus Manchester United, Louis Van Gaal yang mendakwa skuad kendaliannya menampilkan taktik ‘parkir bas dan memanfaat serangan balas.’

Begitupun, kritikan pengendali veteran Belanda itu tampak sejajar dengan taktikal United yang melakar kemenangan 2-1 terhadap Watford, semalam dengan gol yang dijaringkan Marcus Rashford dan Anthony Martial berpunca daripada serangan balas.

Watford juga lebih menguasai permainan berbanding United pada perlawanan berkenaan dengan kemenangan menyaksikan Red Devil mendaki ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris.

Solskjaer mendakwa persembahan pasukannya ketika bangkit menewaskan gergasi Perancis, Paris Saint Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara mempengaruhi pandangan Van Gaal mengenai gaya permainan United ketika ini.

United menjaringkan gol pada masa kecederaan menentang PSG di Parc de Princes bagi melengkapkan kebangkitan menakjubkan selepas tumbang 2-0 pada aksi pertama di Old Trafford sekali pun dilihat lebih banyak bertahan bertemu juara Perancis itu.

“Van Gaal berhak menyuarakan pendapatnya,” kata Solskjaer. “Kami pula melihat kepada sesuatu perlawanan. Sesetengah perlawanan kami memberikan tekanan yang amat tinggi dan memenangi bola tinggi serta mendominasi.

“Dia mungkin bercakap mengenai perlawanan dengan PSG, iaitu perlawanan yang kami perlu bertahan dengan amat baik mengikut keadaan dan melakukan serangan balas.

“Ia mengenai di mana kamu memperoleh bola. Kamu mahu bertahan dengan baik untuk membawa bola ke depan. Kamu perlu mendapatkan bola untuk menyerang dan bagi saya ada dua cara.

“Bolehkah kamu menyerang dengan pantas seperti yang kami lakukan hari ini, mengapa tidak? Selagi niat kamu adalah apabila memenangi bola, kemudian menyerang.

“Asas kepada mana-mana pasukan adalah mengawal bola dengan baik. Jika kamu boleh melakukannya, kamu mempunyai peluang yang hebat.” – Agensi

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.