46

LONDON: Mauricio Pochettino berkata semua orang yang mempunyai kaitan dengan Tottenham Hotspur ‘perlu menangis’ apabila stadium baharu kelab itu menganjurkan perlawanan sulungnya.

Arena yang memiliki kapasiti 62,000 tempat duduk itu, yang dibina di lokasi stadium lama White Hart Lane beberapa kali ditangguhkan pembukaannya susulan masalah dengan sesetengah laporan mendakwa pembinaannya mencecah kos £1 bilion (RM5.37 bilion).

Begitupun semalam, ia menganjurkan perlawanan ujian pertamanya apabila skuad Bawah 18 tahun Tottenham mencatat kemenangan 3-1 ke atas skuad peringkat umur sama Southampton.

Pasukan utama Spurs dijadualkan beraksi buat pertama kali di gelanggang baharu itu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace pada 3 April depan.

Perlawanan semalam adalah satu daripada dua ujian yang diperlukan untuk stadium berkenaan memperoleh sijil keselamatan berkaitan daripada Majlis Haringey dengan ujian kedua adalah perlawanan membabitkan legenda Spurs menentang legenda Inter Milan, Sabtu ini.

Pochettino yang dikaitkan dengan jawatan pengurusan di Real Madrid dan Manchester United berulang kami menjelaskan dia masih akan memegang tugasnya apabila skuad senior Spurs beraksi di gelanggang baharu itu.

“Saya fikir ia menakjubkan, sukar untuk menggambarkannya dengan beberapa perkataan,” kata Pochettino. “Kami semua merasai perasaan yang sama, ia cukup mengujakan.

“Saya merasai perasaan yang sama apabila kami meninggalkan White Hart Lane pada hari terakhir, kami semua menangis dan kini hari pertama stadium, kami merasai emosi yang sama. Kami perlu menangis kerana mimpi kami menjadi kenyataan.”

Sekiranya berjalan lancar, Tottenham juga akan mengharungi perlawanan timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City di gelanggang baharu itu. – AFP

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.