03

Hanis Zalikha (dilahirkan sebagai Hanis Zalikha binti Zainal Rashid; 9 Oktober 1990) merupakan seorang penulis blog, model, pelakon dan pengacara yang berasal dari Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau juga pernah dicalonkan untuk anugerah Most Influential Blog Award pada tahun 2011.

Kehidupan awal

Beliau merupakan anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik. Ibunya, Nani Rostam merupakan bekas model sekitar tahun 1980-an. Beliau mula menceburi bidang peragaan bermula daripada penyertaannya dalam pertandingan televisyen realiti secara dalam talian iaitu Malaysian Dreamgirl pada tahun 2008. Beliau menjadi peserta kedua yang menjadi naib juara pada pertandingan tersebut. Pada tahun 2010, beliau menduduki tempat keenam dalam carta Top 10 Fastest Rising People in Google Malaysia Top Searches 2010 serta mengatasi kedudukan Siti Nurhaliza. Selain itu, beliau pernah disenaraikan sebagai carian sepuluh teratas dalam pencarian Google Zeitgeist 2011.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Selangor (1997), Sekolah Kebangsaan USJ 8 (1998) dan Sekolah Kebangsaan Seafield (1999-2002). Pada peringkat menengah, beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4 (2003), Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield (2004-2006) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 (2007). Pada tahun 2012, beliau berjaya mendapat lulusan diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA, Segamat, Johor pada majlis Konvokesyen ke-76 di universiti yang sama. Selain itu, beliau berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 3.9. Beliau juga bercadang untuk menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda selain daripada membuka perniagaan produk kecantikan sendiri selepas menamatkan pengajiannya.

Advertisements

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.